Pusingan akhir Liga Wanita Nasional 2024 di Stadium Bukit Jalil

Pusingan akhir Liga Wanita Nasional 2024 di Stadium Bukit Jalil


Liga Wanita Nasional 2024 mencatat sejarah yang tersendiri apabila buat julung kalinya pusingan terakhir pertandingan itu bakal diadakan di SNBJ pada 21 Disember ini.

[DIKEMAS KINI] LIGA Wanita Nasional (LWN) 2024 mencatat sejarah yang tersendiri apabila buat julung kalinya pusingan akhir pertandingan itu bakal diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 21 Disember ini.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan liga ini membuka peluang kepada pemain bolasepak wanita beraksi di padang berkenaan.

Mengikut kenyataan itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah beri komitmen agar pemain wanita kebangsaan dan kelab dapat menjalani latihan di SNBJ sebagai langkah untuk menyamaratakan peluang dan akses kepada fasiliti terbaik negara, sama seperti yang diberikan kepada pasukan bola sepak lelaki kebangsaan Harimau Malaya.

“LWN akan berlangsung di SNBJ setiap tahun mulai tahun ini.

“Pemain bola sepak wanita untuk kelab dan kebangsaan akan menjalani sesi latihan di padang yang sama sekiranya perlawanan diadakan di Bukit Jalil,” kata kenyataan itu.

Malah KBS berharap, dengan memberi peluang dan ruang bagi skuad bola sepak wanita kebangsaan bermain di SNBJ, ia dapat meningkatkan semangat juang pasukan Malaysia.

“KBS juga akan terus berusaha untuk mengurangkan jurang yang wujud antara pasukan wanita dan lelaki sebelum ini. Kita Semua Team MAS,” menurut kenyataan itu lagi. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top