Putera Hisahito masih belum fikir soal jodoh

Putera Hisahito masih belum fikir soal jodoh


Tokyo: Pewaris takhta empayar Jepun, Putera Hisahito membuat pengakuan belum terfikir tentang soal mendirikan rumah tangga.

Pengakuan itu dibuat pada sidang media pertamanya, pada Isnin.

Hanya lelaki yang menaiki takhta, manakala wanita meninggalkan keluarga diraja, jika mereka berkahwin dengan orang biasa dan keturunan mereka tidak mempunyai status kerabat diraja

Tetapi Hisahito, yang berusia 18 tahun pada September dan berada di barisan kedua untuk menjadi maharaja selepas bapanya mendedahkan masih terlalu awal untuk berkahwin.

“Mengenai perkahwinan, saya masih belum memikirkan secara mendalam tentang masa atau pasangan sesuai,” katanya kepada pemberita.

Hisahito juga gemar memerhati serangga dan tumbuh-tumbuhan serta menanam sayur-sayuran dan padi pada waktu lapangnya.

“Saya prihatin tentang kesan (perubahan iklim) terhadap kehidupan orang ramai.

“Sebagai (ahli) termuda dalam keluarga diraja, saya berazam untuk memenuhi peranan saya dan mempertimbangkan belajar di luar negara seperti yang dilakukan ahli keluarga lain,” katanya.

Hisahito ialah anak tunggal Putera Mahkota Akishino, 59, abang kepada Maharaja Naruhito, 65 dan Puteri Mahkota Kiko, 58.

Anak perempuan Naruhito, Aiko, 23, tidak boleh menggantikan bapanya di bawah Undang-Undang Rumah Tangga Imperial, yang dilaksanakan sejak 1947 kerana jantinanya.

Keluarga diraja, yang sejarahnya mengikut legenda sejak 2,600 tahun lalu, secara rasmi meninggalkan status ketuhanannya selepas kekalahan Jepun dalam Perang Dunia II dan tidak mempunyai kuasa politik.

Akihito, yang turun takhta pada 2019 kerana usia dan kesihatannya lemah, dipuji kerana memodenkan institusi itu.

Penggubal undang-undang tahun lalu mula membincangkan kemungkinan kelonggaran kepada peraturan penggantian raja dan tinjauan Kyodo News mendapati 90 peratus sokongan awam untuk jawatan itu disandang oleh ahli keluarga wanita.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top