Putera MIC cadang Dasar Sekolah Selamat tangani isu buli secara menyeluruh

Putera MIC cadang Dasar Sekolah Selamat tangani isu buli secara menyeluruh


Putera MIC Kebangsaan menzahirkan kebimbangan serius terhadap peningkatan ketara kes buli di sekolah seluruh negara, yang disifatkan sebagai satu petanda jelas bahawa persekitaran sekolah kini semakin tidak selamat untuk pelajar.

Putera MIC cadang Dasar Sekolah Selamat

Menurut data rasmi Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sebanyak 3,883 kes buli direkodkan pada tahun 2022, dan jumlah itu meningkat kepada 6,528 kes pada tahun 2023. Secara keseluruhannya, 7,681 kes buli dilaporkan tahun lalu menunjukkan trend yang amat membimbangkan.

Ketua Putera MIC Kebangsaan, Dr. Shatesh Kumar Sangar berkata, peningkatan drastik itu sepatutnya menjadi amaran awal kepada semua pihak khususnya KPM untuk mengambil tindakan segera dan berkesan.

“Setiap kali berlaku kes melibatkan buli, rogol atau bunuh di sekolah, tindakan yang diambil sering kali hanya berakhir dengan penubuhan jawatankuasa khas atau pelaksanaan kajian.
“Sampai bila kita mahu terus berputar dalam kitaran reaksi yang sama tanpa perubahan dasar yang nyata?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dasar Sekolah Selamat

Foto: Dr. Shatesh Kumar Sangar

Beliau menegaskan bahawa kelewatan tindakan serta ketiadaan pelan intervensi dasar yang kukuh boleh dianggap sebagai bentuk kelalaian institusi dalam melindungi keselamatan murid.

Artikel lain: Kes tikam pelajar: Kerajaan ambil tindakan tegas isu keselamatan sekolah -PM Anwar

Sehubungan itu, Putera MIC Kebangsaan menggesa KPM melaksanakan Dasar Sekolah Selamat yang merangkumi komponen pencegahan buli secara menyeluruh, termasuk pelaksanaan mekanisme pelaporan wajib (mandatory reporting), intervensi awal, serta penyediaan sokongan psikososial kepada warga sekolah.

Dasar Sekolah Selamat

Foto arkib: Bernama

Dr. Shatesh turut menyatakan bahawa beberapa negara luar telah membuktikan keberkesanan dasar pencegahan buli yang komprehensif.

Sebagai contoh, Korea Selatan memperkenalkan School Violence Prevention Act yang mewajibkan setiap sekolah menubuhkan jawatankuasa pencegahan dan melaporkan kes buli terus kepada pihak berkuasa pendidikan tempatan.

Manakala Finland melaksanakan Program KiVa yang menekankan intervensi awal, latihan guru serta pendidikan empati dan berjaya mengurangkan lebih 50 peratus kes buli di sekolah rendah dalam tempoh lima tahun.

“Malaysia tidak perlu menunggu lebih banyak tragedi untuk bertindak. Kita hanya perlu berani melaksanakan dasar dengan kesungguhan politik yang sama,” ujarnya.

Putera MIC Kebangsaan turut menyeru agar semua pihak termasuk kerajaan, sekolah, ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar bersatu dalam satu gerakan nasional bagi menjayakan kempen #MakeSchoolsSafeAgain.

Kempen itu merupakan satu tanggungjawab sosial bersama untuk memastikan setiap sekolah kembali menjadi tempat yang aman, selamat dan kondusif bagi perkembangan sahsiah serta pembelajaran murid.





Source link

OR

Scroll to Top