Puteri pelengkap keluarga

Puteri pelengkap keluarga



najiy.jefri@hmetro.om.my

PASANGAN selebriti Indonesia, Lesti Kejora dan Rizky Billar dikurniakan anugerah terindah dalam rumah tangga mereka apabila menyambut kelahiran cahaya mata kedua, Sabtu lalu.

Khabar gembira itu dikongsikan menerusi satu hantaran di Instagram, lengkap dengan foto menyentuh hati yang merakam momen Lesti melahirkan, sebagai tanda syukur dan kegembiraan mereka.

“Alhamdulillah, berita gembira menyelubungi kami sekeluarga kerana pada tanggal 25 Januari 2025, ketika jam sudah masuk waktu Subuh, kami menerima ahli keluarga baru iaitu seorang puteri cantik dengan paras rupa yang indah dengan pipi merah merona.

“Pandangannya membuatkan saya kagum dengan tangisannya yang memecah suasana ketika fajar bersiap sedia untuk menyambut ketibaannya,” katanya.

Selain berkongsi berita gembira, pasangan bahagia itu juga menitipkan doa dan harapan buat cahaya mata kedua mereka, mengharapkan agar si kecil membesar dengan sihat serta menjadi insan yang berakhlak mulia.

“Selamat datang ke dunia puteri cantik Papa dan Ibu. Dunia yang tidak selalu membawa kebahagiaan kepada kamu tetapi akan sentiasa ada cinta dan kasih sayang dari kami buat kamu,” katanya.

Dalam pada itu, pasangan ini turut berkongsi nama puterinya yang berinisial LTB.

Namun Billar mengaku sudah menyiapkan nama penuh anak kedua mereka melalui ciapan di X.

“Nama anak kedua sudah saya putuskan dan jarang didengar. Tunggu saya siapkan akaun media sosial Instagramnya terlebih dahulu,” katanya.

Sebelum ini, Lesti menyatakan rasa gementar membilang hari kelahiran itu.

“Ya, untuk bayi kedua ini saya agak gementar kerana sebelum ini pun melalui kaedah pembedahan juga, tapi doakan saya dan bayi selamat.

“Kalau untuk tarikh lahir belum ada lagi tapi saya okay saja. Yang penting bayi sihat,” katanya.

Terdahulu Lesti Kejora dan Rizky Billar dikurniakan dengan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Leslar Al-Fatih Billar, yang kini memasuki usia empat tahun.

Untuk rekod pasangan ini melangsungkan perkahwinan pada tahun 2021.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top