Pelakon jelita, Puteri Sarah Liyana tampil memberikan nasihat terbuka kepada bekas isteri penyanyi Nubhan, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr. Fie, susulan konflik rumah tangga yang sedang melanda pasangan selebriti itu.
Menerusi ciapan di platform Threads, Puteri Sarah berkongsi pandangan berdasarkan pengalamannya sendiri, khususnya berkaitan tindakan undang-undang dan pengurusan emosi ketika berdepan situasi mencabar.
“Dear Dr. Fie, saya percaya peguam yang mewakili awak sekarang adalah peguam yang pernah mewakili saya dulu, Datuk Akberdin Abdul Kadir. Beliau seorang yang sangat bijak. Duduk berbincang dengannya dan fikir bagaimana untuk bertindak secara berhikmah,” tulisnya.
Puteri Sarah turut menasihatkan Dr. Fie agar tidak terburu-buru serta tidak mendedahkan sebarang perancangan kepada pihak lawan.
“Kawal emosi dan bertindak dengan bijak. Jangan beritahu apa perancangan awak. Tahu-tahu sahaja sudah dilaksanakan dan biarlah ia menjadi satu kejutan. Insya-Allah, semuanya akan baik-baik sahaja,” katanya.
Dalam hantaran sama, Puteri Sarah mengakui perasaan marah dan kecewa yang dirasai Dr. Fie, namun menegaskan kepentingan merancang setiap langkah dengan teliti.
“Memang sakit hati, saya faham. Tetapi kita perlu bertindak dengan bijak dan merancang dengan cermat,” jelasnya.

Bekas isteri kepada pengarah dan pelakon sensasi, Syamsul Yusof ini turut menyarankan agar Dr. Fie bekerjasama rapat dengan peguam dan berfikir secara strategik dalam menghadapi situasi berkenaan.
“Bekerjasama rapat dengan peguam. Kena fikir di luar kotak dan pertimbangkan banyak kemungkinan. Perlu ada rancangan A, B, C, D dan E. Awak kena tahu siapa lawan awak. Keadaan ini ibarat bermain catur, perlu tahu langkah seterusnya tanpa pihak lawan menyedarinya,” katanya lagi.

Sebelum ini, Dr. Fie mendakwa barangan peribadi miliknya serta anak-anak telah dikeluarkan dan dicampakkan keluar dari kediaman yang didiami tanpa pengetahuannya, sekali gus mencetuskan perhatian ramai.
Untuk rekod, Nubhan, 39, dan Dr. Afifah sah bercerai pada 2 Disember lalu selepas hampir sedekad mendirikan rumah tangga sejak 29 Ogos 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3.
Artikel Berkaitan: Isu Buang Barang Peribadi Tanpa Izin, Peguam Sahkan Dr. Fie Bakal Lapor Polis & Ambil Tindakan Sivil Terhadap Nubhan
Artikel Berkaitan: Dr. Fie Hilang Sabar, Dakwa Nubhan Campak Barang Peribadi Tanpa Belas Kasihan – “Semudah Itu Awak Buang Saya”






