PVATM tunggu keputusan positif selaras pencen veteran

PVATM tunggu keputusan positif selaras pencen veteran


am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) berharap keputusan positif berhubung penyelarasan pencen veteran yang bakal diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 26 Mei ini.

Timbalan Presidennya Datuk Mohd Bustaman Mat Zin berkata, lebih 70,000 veteran ATM terkesan dengan isu penyelarasan pencen veteran iaitu mereka yang bersara sebelum 1 Januari 2013.

Menurutnya, daripada jumlah itu, kira-kira 18,000 adalah waris atau balu yang dikategorikan sebagai penerima pencen terbitan.

“Ini kerana pada 2013 ada kenaikan gaji, tapi tiada penyelarasan gaji. Itulah ramai menuntut kerana kebanyakan mereka sudah berusia, sudah pasti memerlukan sumber kewangan besar untuk kos rawatan kesihatan.

“Kita harap keputusannya adalah positif kerana terdapat jurang yang agak besar antara pencen veteran yang bersara sebelum 1 Januari 2013 dengan (mereka) yang (pencen) selepas tempoh itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan PVATM Negeri Kelantan kali ke-56 Tahun 2025 di Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Bustaman turut memakaikan Pingat Setia Sentiasa Berjuang (PSSB) kepada lima veteran ATM dan menyampaikan sijil penghargaan.

Hadir sama, Yang Dipertua PVATM Kelantan Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani.

Pada tahun lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan kenaikan pencen veteran ATM sebanyak 15 peratus susulan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula 1 Disember lalu.

Justeru, veteran menerima pelarasan pencen fasa pertama sebanyak lapan peratus pada Disember lalu berdasarkan gaji akhir pada 2012.

Manakala pelarasan pencen fasa kedua sebanyak tujuh peratus akan dilaksanakan pada awal tahun 2026.

Susulan itu, seramai 50 anggota tentera pelbagai pangkat termasuk mejar, leftenan, staf sarjan dan prebet memfailkan saman pemula pada 17 November 2022 bagi mendapatkan deklarasi bahawa kerajaan melanggar peruntukan di bawah Perkara 137 atau Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, yang dibaca bersama dengan Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera Malaysia 1972, kerana gagal melaksanakan pelarasan pencen baharu untuk pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013.

Semasa prosiding pada 21 Januari lalu, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi yang mewakili kerajaan dan tiga pihak lain, berhujah bahawa pesara ATM tidak berhak mendapat pelarasan pencen selepas 2012 kerana tiada semakan gaji sehingga kerajaan Madani memperkenalkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), baru-baru ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top