Pyongyang dakwa temui serpihan dron milik Korea Selatan

Pyongyang dakwa temui serpihan dron milik Korea Selatan


SEOUL – Korea Utara mendakwa menemui serpihan dron yang serupa dengan kenderaan udara tanpa pemandu tentera yang ditunjukkan Korea Selatan semasa perarakan Hari Angkatan Tentera di wilayahnya.

Lantaran itu, Pyongyang mendakwa ia sebagai bukti material untuk membuktikan Korea Selatan melakukan provokasi yang melanggar kedaulatan negara itu, lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) pada hari Sabtu.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Negara berkata, Biro Keselamatan Perbandaran Pyongyang Kementerian Keselamatan Awam menemui serpihan itu pada 13 Oktober yang terhempas semasa operasi mencari di Pyongyang.

Katanya, negara itu telah melakukan penilaian melalui pemeriksaan teknikal dan analisis dron yang ditemuinya sebagai dron ringan untuk peninjauan jarak jauh yang dimiliki oleh tentera Korea Selatan dan salah satu daripada “jenis yang sama seperti yang ditunjukkan kepada umum pada acara Hari Angkatan Tentera ROK, menurut laporan KCNA.

Berdasarkan bentuk dron, jangka masa penerbangannya dan kotak penyebaran risalah yang dipasang pada bahagian bawah badan pesawat dron, antara faktor lain, “kemungkinan besar dron itu adalah yang menaburkan risalah di tengah-tengah Pyongyang, lapor KCNA walaupun menyifatkan “kesimpulan itu masih belum dibuat”.

Susulan itu, Pyongyang meminta unit tenteranya di ibu kota dan kawasan sempadan selatan untuk mengukuhkan pos pemerhatian anti-udara, dan “memutuskan untuk mengekalkan gabungan unit artileri dan unit tugas tembak berhampiran sempadan berada dalam kesediaan untuk pertempuran penuh,” menurut KCNA.

Pyongyang turut memberi amaran “jika pelanggaran berlaku di wilayah, udara dan perairan oleh tentera Korea Selatan, ditemui dan disahkan semula, ia akan dianggap sebagai provokasi ketenteraan serius terhadap kedaulatan Pyongyang dan pengisytiharan perang dan serangan balas segera akan dilancarkan,” kata KCNA.

Kementerian Luar Korea Utara pada 11 Oktober menuduh Korea Selatan menghantar dron ke Pyongyang namun dinafikan oleh Seoul. – Agensi



Source link

OR

Scroll to Top