sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Selepas cemerlang merangkul juara berganda Pusingan 1 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) Talent Jumaat lalu, pelumba berbakat negara, Qabil Irfan Azlan idam menyapu bersih baki enam pusingan lagi.
Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman itu berkata, kemenangan kejohanan yang berlangsung di Litar Jerez, Sepanyol itu menyuntik lagi semangatnya untuk terus memburu kejuaraan dalam baki perlumbaan itu.
“Perasaan saya terlalu gembira kerana menang dua perlumbaan terutama berjaya menewaskan dua jaguh Sepanyol yang juga juara bertahan pada tahun lalu.
“Saya tekad dengan jentera baharu, mahu membuktikan sesuatu buat peminat tanah air biarpun sebelum perlumbaan saya tidak meletakkan sasaran untuk bergelar juara sebaliknya yang saya fikir adalah untuk melakar keputusan terbaik.
“Keyakinan dan semangat tinggi terutama dorongan daripada kedua ibu bapa, rakyat Terengganu dan Malaysia, buatkan saya lebih bersedia.
“Berbaki enam lagi perlumbaan, saya tekad untuk menyapu bersih dengan meraih kejuaraan jika ada rezeki, tapi saya sedar ianya tidak semudah itu sebaliknya saya perlu menggandakan lagi usaha dan latihan untuk mengekalkan momentum kejuaraan.
“Apa-apapun saya begitu puas kerana kejayaan ini adalah pencapaian yang terbaik sepanjang perlumbaan, latihan intensif di luar negara selain mendapat sentuhan jurulatih tempatan begitu membantu prestasi saya,” ujar Qabil ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangasa Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, semalam.
Bagaimanapun Qabil yang menjadikan dua pelumba Itali, Velentino Rossi dan Francesco Bagnaia sebagai idolanya akui bukan mudah untuk mengekalkan kejuaraan kerana lawannya pasti akan memberikan saingan lebih hebat dalam pusingan seterusnya.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerajaan negeri akan menyalurkan insentif khas atas pencapaian Qabil itu.
“Kerajaan negeri berbangga dengan pencapaian pelumba muda itu, jadi kita akan menilai bentuk ganjaran yang akan diberikan kepadanya atas pencapaian itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd