Qabil Irfan miliki potensi besar di pentas dunia

Qabil Irfan miliki potensi besar di pentas dunia


Zulfahmi (kanan) gembira Qabil Irfan sudah membuktikan kemahiran serta mampu mencipta sesuatu yang positif.

PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan mempunyai masa depan yang sangat baik selepas menunjukkan kematangan dalam Pusingan 4 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 di Litar Navarra hujung minggu lalu.

Keyakinan tersebut diluahkan Pengurus SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin yang melihat anak didiknya itu sudah membuktikan dirinya mempunyai kemahiran serta dilihat mampu mencipta sesuatu yang positif.

“Ini adalah permulaan yang sangat baik untuk Qabil dalam membina kariernya di Eropah dan kita dapat lihat bagaimana dia menguruskan perlumbaan dengan baik,” katanya.

Pelumba berusia 13 tahun itu berjaya menunjukkan prestasi cukup membanggakan apabila berada di atas podium dalam tujuh perlumbaan sebelum ini.

Namun, hasrat untuk melebarkan keputusan positif itu tidak kesampaian selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat pada Perlumbaan 2 di Litar Navarra, Sepanyol Ahad lepas.

“Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati dengan prestasi Qabil. Dia menunjukkan prestasi kompetitif dari sesi latihan sehingga ke hari perlumbaan. Memenangi Perlumbaan 1 dan menamatkan Perlumbaan 2 di tempat keempat, sambil kekal mendahului carta kejuaraan.

“Jadi walaupun tamat di tempat keempat, secara keseluruhan saya sangat gembira dengan pencapaiannya,” ujar Zulfahmi.

Selepas empat pusingan, Qabil Irfan mengekalkan kedudukan selaku pendahulu dengan 173 mata, jauh meninggalkan pesaingnya dari Sepanyol, Izan Rodriguez di tempat kedua (124 mata) dan wakil Switzerland, Alessio Arnold di tempat ketiga (120 mata).

Pelumba yang berasal dari Terengganu itu dijadual menyertai saingan FIM MiniGP Malaysia di Litar Lumba Tangkak, Johor, hujung minggu ini.

Pusingan 5 ESBK Talent pula dijadual bersambung di Litar Navarra dari 28 hingga 31 Ogos depan.

 



Source link

OR

Scroll to Top