Qabil Irfan tawan Litar Navarra

Qabil Irfan tawan Litar Navarra


Qabil mengungguli Perlumbaan 1 ESBK Pusingan 4 di Sepanyol pada Sabtu. Foto FB ZK Racing.

QABIL Irfan Azlan membuktikan statusnya sebagai pelumba muda sensasi apabila muncul juara Perlumbaan 1 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) Pusingan 4 di Litar Navarra pada Sabtu.

Biarpun bermula dari petak kedua, pelumba berusia 13 tahun itu memperagakan tunggangan bertenaga untuk menamatkan saingan dengan catatan 27 minit 25.519 saat (s)

Kejayaan pelumba pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly itu bagaimanapun bukan diraih dengan mudah.

Qabil disaing sengit pelumba tuan rumah, Enzo Zaragoza yang hanya ketinggalan 0.033s di garisan penamat.

“Saya bermula dengan sangat baik di grid pelepasan dan berjaya memimpin seawal pusingan pertama.

“Namun, saya tidak dapat kekalkan kedudukan itu apabila dipintas beberapa pelumba.

“Saya kekal tenang dan terus mengekori rapat untuk mencari ruang memintas pada saat-saat akhir. Alhamdulillah, strategi saya menjadi dan saya berjaya mencipta kemenangan,” katanya.

Seorang lagi pelumba Sepanyol, Izan Rodriguez pula melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga dengan perbezaan masa 0.255 saat.

Qabil bakal mengharungi satu lagi perlumbaan pada Ahad sambil bertekad untuk konsisten berada di podium.

“Perlumbaan esok (Ahad) pasti sengit. Saya mahu tampil lebih baik. Saya harap dapat memecut lebih awal untuk menjarakkan jurang dengan pencabar lain,” katanya.

Kemenangan mendebarkan di Navarra itu mengukuhkan kedudukan Qabil untuk memimpin carta ESBK setelah mengutip 160 mata.

Selepas empat pusingan, Qabil telah merangkul empat kejuaraan dan tiga kali menamatkan perlumbaan di podium kedua.



Source link

OR

Scroll to Top