Qabil Irfan tekad tebus kecewa

Qabil Irfan tekad tebus kecewa


Qabil Irfan (depan) meraih tempat kedua perlumbaan pertama ESBK di Aragon malam tadi. Foto FB ZK Racing.

TIADA istilah putus asa buat pelumba cilik negara, Qabil Irfan Azlan setelah terlepas gelaran perlumbaan pertama akibat dipintas saat akhir saingan Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 di Aragon malam tadi.

Biarpun terlepas peluang untuk muncul juara, namun pelumba berusia 13 tahun itu tetap berpuas hati dengan kejayaan meraih podium kedua.

Malah pelumba yang berasal dari Terengganu itu tekad bangkit lebih kuat pada perlumbaan kedua yang dijadualkan pada jam 8.30 malam ini.

“Saya akan lebih kuat untuk Race 2. Insya-ALLAH saya akan berikan yang terbaik untuk negara dan pasukan,” katanya.

Pelumba dari pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly itu bermula dari petak utama dan mengharungi saingan 11 pusingan itu dalam kelompok hadapan bersama tiga pencabar lain.

Qabil Irfan silih berganti memimpin perlumbaan dengan wakil Aspar KSB Technical Academy, Enzo Zaragoza yang akhirnya menjuarai perlumbaan selepas memintas pelumba negara pada pusingan terakhir.

Pelumba pasukan ETG Racing, Izan Rodriguez pula melengkapkan podium perlumbaan pertama tersebut.

“Alhamdulillah saya berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua. Saingan kali ini memang sengit, lebih-lebih lagi apabila kumpulan kedua hampir mengejar dan pelumba yang mendahului agak perlahan,” katanya.

Qabil Irfan turut mendedahkan strateginya untuk memimpin perlumbaan dari awal, namun pada penghujung saingan, nasib tidak menyebelahinya apabila dipintas ketika selekoh terakhir.

“Memang saya cuba mendahului perlumbaan dari awal. Setelah hampir sampai ke selekoh terakhir, saya dipotong. Apapun, saya rasa perlumbaan kedua (malam ini) akan lebih sengit,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top