saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelumba muda sensasi negara, Qabil Irfan Azlan semakin hampir untuk merangkul dua kejuaraan utama musim ini selepas mengesahkan gelaran juara keseluruhan kategori 190cc FIM MiniGP Malaysia 2025.
Aksi mantap anak jati Terengganu berusia 13 tahun itu sekali lagi terserlah apabila dia menamatkan Pusingan 4 di LYL International Karting Circuit, semalam dengan menyapu bersih kemenangan dalam kedua-dua perlumbaan, sekali gus mengumpul 200 mata penuh dan mengekalkan rekod sempurna dengan lapan kemenangan berturut-turut musim ini.
Kejayaan terbaru itu menyaksikannya dinobatkan juara keseluruhan lebih awal walaupun masih berbaki satu pusingan dan selepas ini, Qabil akan memberikan fokus kepada pentas lebih berpestij, iaitu Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) dalam kelas ESBK Talent .
Kejayaan menjuarai FIM MiniGP Malaysia turut memastikan Qabil layak secara automatik mewakili Malaysia ke Kejuaraan Siri Dunia MiniGP 2025 yang akan berlangsung di Valencia, Sepanyol hujung tahun ini.
“Musim ini amat istimewa kerana saya berjaya mengekalkan prestasi konsisten sejak perlumbaan pertama. Gelaran ini hasil usaha berterusan pasukan, keluarga, penaja dan semua yang sentiasa menyokong saya.
“Apapun, saya akan terus bekerja keras terutama menjelang persiapan ke Valencia memandangkan cabaran di sana pasti lebih sengit. Jadi, saya perlu berusaha lebih keras,” kata Qabil yang menjuarai kategori sama pada musim 2024.
Dengan berbaki tiga pusingan membabitkan enam perlumbaan dalam saingan ESBK Talent, Qabil kini berada di tangga teratas carta keseluruhan dengan 173 mata sementara pencabar utamanya, Izan Rodriguez dari Sepanyol di tempat kedua (124) dan pelumba Switzerland, Alessio Arnold (120) ketiga.
Pusingan Kelima ESBK Talent dijadual bersambung di Litar Navarra dari 28 hingga 31 Ogos depan.
Kemenangan terbaru FIM MiniGP Malaysia menambah koleksi kejuaraan Qabil yang sebelum ini pernah meraih gelaran 160cc pada 2022 dan 2023, selain menjuarai SIC Ohvale Junior Championship 110cc pada 2021 dan SIC MiniGP Championship 2021.
© New Straits Times Press (M) Bhd