June 13, 2024

Qi Yi gagal pertahan gelaran


Kota Tinggi: Peserta negara dalam acara Sprint Triatlon, Yap Qi Yi gagal mempertahankan gelaran peserta lelaki terpantas keseluruhan yang dimenangi tahun lalu apabila sekadar berada di tempat kedua selepas dikenakan penalti.

Qi Yi, 18, dari Kuala Lumpur berjaya menamatkan saingan sukan ekstrim yang merangkumi disiplin berenang, berbasikal dan berlari itu dengan catatan masa 1 jam 8 minit di belakang atlet Singapura, Cedric Chua (1 jam 6 minit) manakala ketiga Rich Bacon dari United Kingdom (1 jam 11 minit).

Dia gagal muncul juara selepas didapati tidak mematuhi jarak ditetapkan dengan mengekori terlalu rapat peserta di hadapan ketika disiplin berbasikal.

“Walaupun saya gagal merangkul juara keseluruhan dalam kategori ini (Desaru Coast Sprint Triatlon) tetapi tetap berpuas hati dengan gelaran peserta lelaki tempatan (Malaysia) terpantas dan bertekad untuk mendapatkan gelaran peserta Malaysia terpantas dalam mana-mana kejohanan yang saya sertai selepas ini.

“Bagi kejohanan akan datang menerusi Asia Triathlon Cup Osaka Castle di Jepun, minggu depan saya optimis untuk menjadi peserta terpantas dan memastikan tidak melakukan kesilapan yang boleh dikenakan penalti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Ironman 70.3 Asia Triclub Desaru Coast, di sini hari ini.

Qi Yi yang juga Juara Dualthon Kebangsaan (Bike-Run) tahun lalu turut mencabar dirinya dengan menetapkan masa kurang satu jam untuk menghabiskan saingan dalam setiap acara Sprint Triatlon yang disertai.

“Saya yang boleh dikatakan baharu dalam acara sukan ekstrim ini juga berhasrat untuk mengharumkan nama negara dalam kejohanan Ironman pula dengan menjadikan acara Sprint Triatlon sebagai platform permulaan,” katanya.

Acara Sprint Triatlon di Desaru tahun ini memerlukan setiap peserta menghabiskan tiga disiplin iaitu berenang dengan jarak 750 meter, berbasikal 20 kilometer (km) dan berlari sejauh lima km.

Ironman 70.3 Asia Triclub Championship Desaru Coast yang memasuki tahun ketiga penganjurannya berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top