QL Eggs Breakathon pecahkan 6800 telur sempena 68 tahun Merdeka

QL Eggs Breakathon pecahkan 6800 telur sempena 68 tahun Merdeka


KUALA LUMPUR: Karnival QL Eggs Breakathon mencipta sejarah apabila sebanyak 6,800 biji telur dipecahkan serentak sempena meraikan sambutan kemerdekaan negara ke-68 yang bakal tiba tidak lama lagi.

Bertempat di Padang Bola Sepak The Campus, Ampang, acara anjuran QL Eggs itu berlangsung penuh meriah dengan kehadiran pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat. 

Lebih daripada sekadar karnival, penganjuran ini menjadi pentas menyatukan rakyat Malaysia sambil menyemarakkan semangat patriotisme melalui pelbagai aktiviti kreatif dan interaktif.

Edar nasi lemak percuma

Lebih istimewa, acara itu turut mengetengahkan kelainan apabila mengedarkan nasi lemak secara percuma menggunakan telur bernutrisi QL Eggs yang disediakan khas oleh restoran popular, Chan Mari Chan. 

Gabungan juadah tradisi bersama sentuhan inovasi pemakanan itu menjadikan Breakathon bukan sahaja medan hiburan, malah pengalaman yang menyihatkan serta dekat di hati rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan QL Resources Berhad, Chia Song Kooi berkata, penganjuran ini selari dengan komitmen syarikat itu untuk sentiasa berinovasi dalam bidang pemakanan.

“Daripada bahan asas yang biasa, kami terus berinovasi dalam nutrisi pemakanan dan berusaha meningkatkan manfaatnya. Inilah yang kami maksudkan dengan Breakthrough Goodness. 

Karnival Breakathon ini bukan sekadar sambutan, malah menjadi peringatan bahawa setiap kali rakyat Malaysia memecahkan telur, mereka akan teringat kepada QL Eggs, yakin dengan kualiti yang konsisten serta khasiat yang diyakini,” katanya.


Pelbagai aktiviti menarik disajikan

Acara tersebut turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik yang mencuri perhatian pengunjung. 

Antara tarikan utama ialah cabutan bertuah Golden Egg bernilai RM11,390, hadiah bekalan QL Eggs untuk setahun, sesi bergambar di telur matahari gergasi serta juadah nasi lemak percuma hasil air tangan Chan Mari Chan. 

Suasana bertambah meriah dengan permainan mini di pentas, pemberian patung edisi terhad, selain peluang memuat naik detik istimewa di media sosial untuk menebus telur percuma.

Turut mencuri tumpuan adalah kemunculan barisan tetamu istimewa seperti pasangan beregu badminton negara yang juga duta QL Eggs, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin. 

Chef selebriti Datuk Fazley Yaakob pula mempersembahkan resipi Creamy Egg Sambal, manakala personaliti media sosial Abe Yong menghidangkan Benjo Special. 

Kehadiran pempengaruh Pinnyang dan Jason Jezi yang mengendalikan siaran langsung jualan telur di TikTok turut menambah keterujaan acara.

Terima pengiktirafan Malaysia Book of Records

Istimewanya, penganjuran karnival ini turut menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records apabila berjaya memecahkan rekod menerusi 6,800 biji telur yang dipecahkan serentak.

Telur-telur tersebut kemudiannya digunakan dalam penyediaan nasi lemak istimewa oleh Chan Mari Chan, sekali gus menyajikan juadah kebangsaan dengan nilai nutrisi tambahan.

Penganjuran ini juga menyerlahkan inovasi produk QL Eggs, termasuk telur Brain+ yang diperkaya dengan DHA bersamaan lapan gelas susu serta Kolin untuk menyokong perkembangan otak, daya ingatan dan tumpuan.

Melalui sistem penternakan moden dengan kawalan biosekuriti ketat, QL Eggs mengekalkan mutu pengeluaran telur sebagai sumber protein utama rakyat Malaysia.

Dengan sambutan yang hangat dan penyertaan yang begitu menggalakkan, QL Eggs Breakathon 2025 bukan sahaja berjaya mencipta rekod baharu, malah mengukuhkan kedudukan jenama itu sebagai peneraju dalam membawa khasiat dan keceriaan kepada rakyat Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top