September 8, 2024

Qunut Nazilah ditujukan kepada penyokong genosid di Gaza – Fayhsal

Qunut Nazilah ditujukan kepada penyokong genosid di Gaza – Fayhsal


KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad menafikan Qunut Nazilah yang dibacakan oleh blok pembangkang di Dewan Rakyat semalam ditujukan kepada pemimpin kerajaan.

Sebaliknya beliau berkata, doa itu ditujukan kepada penyokong genosid di Gaza seperti syarikat BlackRock.

“Doa Qunut Nazilah kepada penyokong genosid seperti BlackRock yang bersubahan membunuh rakyat Palestin. Bukan kepada kamu,” katanya ringkas dalam perkongsian di Story Facebook

Wan Ahmad Fayhsal mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dilaporkan memandang serius mengenai bacaan Qunut Nazilah oleh blok pembangkang.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, beliau berada di dalam Dewan Rakyat ketika Ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail membacakan  Qunut Nazilah.

Doa tersebut tidak tujukan kepada mana-mana pihak termasuk Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul atau Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Doanya bersifat umum bukan khusus kepada seteru politik seperti yang didakwa menteri ini. Yang kamu menggelupur dan terasa ni kenapa?

“Ingat prinsip usul fiqh dalam membuat penghakiman: al-hukm ‘ala shay’ far’un ‘an tasawwurihi (membuat hukum ke atas sesuatu perkara mestilah dibuat selepas mendapat gambaran penuh tentang perkara itu.

“Nampaknya Menteri Dalam Negeri ini cepat bersangka buruk dalam soal ini. Jangan risau kami bukan Khawarij seperti yang kamu cuba momokkan!”katanya.

Saifuddin hari ini menyifatkan bacaan doa itu sebagai satu dasar politik yang melampau dan harus ditolak biar pun terdapat perbezaan fahaman politik antara kerajaan dan pembangkang.

“Di mana insiden itu berlaku semalam, di Parlimen jadi ia ditujukan kepada Israel di Gaza atau apa? Perbuatan membaca Qunut Nazilah sejurus selepas keputusan Parlimen kerana tidak bersetuju dengan tindakan menggantung seorang MP yang ada sebab musababnya melalui proses Parlimen.

“Ini contoh amalan politik melampau perbezaan politik terus dijadikan asas untuk memohon dial kehancuran. Ini bukan amalan Islam.

“Jadi sejauh mana kerajaan anggap ini sebagai ditujukan kepada kerajaan, situasi semalam dan kondisi, jawapan telah jelas,” katanya pada sidang media hari ini.

Katanya, Qunut Nazilah lazimnya dibaca oleh umat Islam bagi mendoakan musuh agama atau dalam situasi perang.

Semalam, barisan pembangkang bertindak membaca Qunut Nazilah selepas Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan.

Beliau dikenakan tindakan ekoran usul Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana beliau membangkitkan surat layang ketika perbahasan.-MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top