#QuranHour: Misi transformasi ummah

#QuranHour: Misi transformasi ummah


SELEPAS lebih tiga dekad berkecimpung dalam industri media, timbul satu persoalan besar: Apakah peranan sebenar media dalam menyelamatkan ummah?

Itulah soalan yang bermain di minda Pengasas dan Penasihat Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub ketika mempimpin organisasi itu dalam usaha membawanya ke satu tahap yang lebih ke hadapan.

Ujarnya, dalam tempoh 30 tahun sejak penubuhan Karangkraf, beliau menyaksikan sendiri kebangkitan budaya membaca dalam kalangan masyarakat melalui pelbagai majalah, buku dan akhbar Sinar Harian terbitannya.

Maka fasa seterusnya menuntut sesuatu yang lebih mendalam iaitu menghidupkan al-Quran sebagai panduan hidup umat Islam terutamanya di Malaysia.

HUSSAMUDDIN

“Tidak dapat dinafikan usaha panjang industri media dan penerbitan telah berjaya mengubah landskap masyarakat Malaysia dalam pembacaan.

“Daripada sebuah masyarakat yang kurang minat membaca, ia berkembang menjadi komuniti yang menghargai buku dan ilmu.

“Pelbagai program, penerbitan dan inisiatif dilaksanakan dalam menjadikan industri buku dan bacaan menjadi lebih meriah dan berpengaruh,” katanya dalam program Interviu bertajuk Bangun malam dan kualiti manusia pembina dunia anjuran Sinar Harian sempena World #QuranHour baru-baru ini.

Ajak ummah kembali kepada al-Quran

Bagaimanapun ceritanya, menjelang sekitar tahun 2015, dunia berhadapan dengan cabaran yang lebih kompleks termasuk isu rasuah yang semakin berleluasa, konflik manusia dan peperangan serta media sosial yang semakin tidak terkawal.

“Ketika itu, timbul kesedaran dalam diri bahawa membaca sahaja tidak mencukupi dan suatu usaha yang besar perlu dilaksanakan.

“Maka tercetuslah satu idea yang besar bagi menjawab persoalan bagaimana jika seluruh dunia Islam digerakkan untuk kembali kepada al-Quran?” jelasnya.

Dari situ maka lahirlah satu gerakan berskala besar yang menghimpunkan pelbagai agensi media di dalam negara.

“Ia merupakan satu sinergi yang jarang berlaku dalam dunia media yang biasanya bersaing sesama sendiri.

“Media besar seperti Media Prima, Bernama, RTM, Astro dan pelbagai agensi media lain bergabung dalam satu misi sama iaitu mengajak umat Islam untuk kembali kepada al-Quran dalam program #QuranHour,” hurainya.

Sambungnya, program tersebut mengambil inspirasi daripada konsep Earth Hour yang berkempen memadamkan lampu secara serentak di seluruh dunia selama satu jam.

“Jika dunia boleh berhenti selama satu jam untuk memadamkan lampu, mengapa tidak umat Islam berhenti seketika untuk menghidupkan hati?

AL-SULTAN Abdullah mencemar duli hadir menyertai WQH 2026 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM Gombak baru-baru ini.

AL-SULTAN Abdullah mencemar duli hadir menyertai WQH 2026 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM Gombak baru-baru ini.

“Maka lahirlah konsep satu jam, satu dunia, satu al-Quran. Dalam tempoh satu jam itu semua aktiviti dihentikan, al-Quran dibuka, hati dan fikiran difokuskan kepada memahami serta mengambil pengajaran daripada ayat-ayat al-Quran untuk diamalkan dalam kehidupan seharian,” jelasnya.

#QuranHour pencetus perubahan

Ujarnya, matlamat sebenar #QuranHour bukanlah sekadar acara tahunan, sebaliknya ia merupakan pencetus kepada budaya harian iaitu meluangkan masa selama satu jam bersama al-Quran setiap hari sepanjang tahun.

“Selepas sedekad, gerakan ini mula menunjukkan impak besar dan disambut pelbagai pihak serta disokong media arus perdana.

“Apa yang lebih penting, gerakan ini tidak dimonopoli oleh mana-mana pihak. Ia bukan milik kami. Kami hanya pencetus,” tegas pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas itu.

Katanya, sinergi antara pelbagai pihak membuktikan bahawa kerja besar untuk ummah memerlukan kebersamaan.

Sambungnya lagi, matlamat utama gerakan ini jelas iaitu menjadikan al-Quran sebagai operating system dalam kehidupan.

“Al-Quran bukan sekadar disimpan di dalam rak di rumah, tetapi kita perlu memahami maknanya dan menghidupkan dalam tindakan.

“Bayangkan jika di dalam keretapi MRT, LRT atau stesen bas, manusia sibuk membaca al-Quran. Begitu juga di tempat kerja, nilai-nilai di dalam al-Quran dijadikan panduan. Inilah transformasi yang diimpikan,” hurainya.

Satu perubahan ketara dalam masyarakat hari ini menurut Hussamuddin ialah peralihan daripada sekadar membaca al-Quran kepada tadabbur.

HUSSAMUDDIN (kanan) ketika menjadi ahli panel bersama Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir dalam program Interviu anjuran Sinar Harian baru-baru ini.

HUSSAMUDDIN (kanan) ketika menjadi ahli panel bersama Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir dalam program Interviu anjuran Sinar Harian baru-baru ini.

“Jika dahulu ramai membaca al-Quran tanpa memahami, namun kini semakin ramai mengkaji maksud di dalam al-Quran dan mengaitkannya dengan kehidupan selain mengamalkan isi kandungannya.

“Pendekatan ini menjadikan al-Quran lebih dekat dan relevan dengan realiti semasa,” katanya.

Pada akhirnya, matlamat gerakan ini bukan sekadar program, tetapi perubahan menyeluruh dalam diri seseorang dan masyarakat secara amnya.

“Jika al-Quran benar-benar difahami dan diamalkan, kita akan melihat pemimpin lebih amanah, organisasi lebih berintegriti dan keluarga lebih sejahtera.

“Segala-galanya bermula dengan satu langkah kecil iaitu meluangkan masa selama satu jam setiap hari bersama al-Quran,” jelasnya.

Ini kerana katanya, dalam satu jam itu mungkin tersembunyi kunci kepada perubahan yang lebih besar, bukan sahaja kepada individu tetapi kepada seluruh ummah.

Ringkasan AI

  • Selepas tiga dekad, Karangkraf menyaksikan kebangkitan budaya membaca di Malaysia. Hussamuddin Yaacub ingin membawa masyarakat kembali menghayati al-Quran. #QuranHour dilancarkan sebagai inisiatif global menghubungkan pelbagai media. Program ini menggalakkan umat Islam meluangkan satu jam bersama al-Quran setiap hari. Matlamatnya ialah menjadikan al-Quran panduan dalam kehidupan harian dan membawa perubahan kepada masyarakat.



Source link

OR

Scroll to Top