Radbone, Er Choo ungguli cabaran IRONMAN 70.3 Desaru Coast

Radbone, Er Choo ungguli cabaran IRONMAN 70.3 Desaru Coast


TUAH menyebelahi Jed Radbone yang kali pertama menyertai sukan lasak apabila muncul juara kategori lelaki, manakala Ling Er Choo dari Singapura melakar kemenangan hatrik bagi wanita dalam saingan IRONMAN 70.3 Desaru Coast di Bandar Penawar, Kota Tinggi hujung minggu lalu.

Atlet dari Australia itu mempamerkan kepantasan di laluan basikal berbukit dan mendahului di peringkat akhir larian untuk muncul sebagai pelari lelaki terpantas dengan catatan 4 jam 13 minit dan 1 saat (4:13:01).

Tempat kedua pula diraih Luis Miguel Ruiz dari Sepanyol dengan masa 4:24.27s, manakala tempat ketiga milik Assad Attami dari Australia menerusi catatan 4:27.23s.

Radbone yang mula serius menceburi sukan itu empat tahun lalu optimis acara tersebut berpotensi untuk menjadi antara perlumbaan utama dalam siri IRONMAN.

“Saya mahu kembali tahun depan untuk mempertahankan gelaran. Saya rasa perlumbaan ini akan jadi sangat besar pada masa depan.

“Saya jatuh cinta dengan tempat ini dan sangat gembira dengan keputusan ini. Gabungan panas dan laluan mencabar menjadikannya perlumbaan yang sukar,” ujar atlet berusia 25 tahun itu.

Edisi keempat sejak diperkenalkan pada tahun itu 2022 menyajikan peserta dengan gabungan cuaca panas dan lembab, selain laluan berbukit serta

merangkumi 1.9 kilometer (km) renang, 90km berbasikal dan 21.1km larian di sepanjang pantai Desaru.

Dalam pada itu, Er Choo pula tampil cemerlang dalam kategori wanita, menamatkan perlumbaan dengan masa 4:55:25 untuk menewaskan pesaing lain di garisan penamat.

Tempat kedua dimenangi atlet Australia, Sabine Claudia (5:17:18), sementara kedudukan ketiga diraih Satowa Ota dari Thailand (5:22:47).

Ini adalah kemenangan kali ketiga berturut-turut buat Er Choo di IRONMAN 70.3 Desaru Coast.

“Saya sangat gembira dapat menang tiga kali berturut-turut. Terima kasih kepada pasukan saya, sukarelawan, suami dan semua peserta yang beri cabaran hebat,” katanya.

Er Choo turut mendedahkan bahawa ia adalah perlumbaan pertama selepas mengalami kecederaan ligamen pada kaki.

“Sejujurnya, saya cuma fokus pada diri sendiri. Saya tidak pasti boleh beri segalanya kerana ini perlumbaan pertama selepas cedera, tetapi semuanya berjalan lancar tidak berasa sakit.

“Sekarang saya akan fokus untuk Kejohanan Dunia di Kona, Hawaii pada Oktober nanti,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top