am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Radzi Md Jidin dan Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ditamatkan perkhidmatan dalam gabungan itu berkuat kuasa serta merta.
Perkara dimaklumkan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu kenyataan media selepas Mesyuarat Ahli Parlimen Pembangkang sebentar tadi.
“Bagi tujuan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan berdasarkan kuasa yang diperuntukkan dibawah Fasal 8.3 Perlembagaan Perikatan Nasional. Maka dengan ini saya mengumumkan penstrukturan semula pentadbiran PN berkuat kuasa serta merta.
“Ketua Pengarah Pilihan Raya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin telah diberhentikan perkhidmatan dan digantikan dengan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor.
“Timbalan Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah diberhentikan perkhidmatan bagi memenuhi kehendak Perlembagaan PN,”jelas kenyataan itu.
Turut distruktur semula, jawatan Bendahari PN yang disandang Muhammad Sanusi sebelum ini digantikan dengan Timbalan Presiden MIPP S Subramaniam.
Tambah Samsuri lagi, satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh organisasi gabungan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






