DI sebalik senyuman meraikan kejayaan di lorong boling, pemain kebangsaan Rafiq Ismail sebenarnya sedang berdepan ujian peribadi yang cukup berat apabila kediamannya menjadi sasaran pencuri baru-baru ini.
Namun, insiden yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM60,000 itu tidak mematahkan semangat atlet berusia 29 tahun itu.
Sebaliknya, beliau bangkit membuktikan ketabahan mental apabila menjuarai Pusingan Akhir Masters Divisyen Terbuka Campuran Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 pada Ahad.
Mewakili Wipers, Rafiq menampilkan aksi konsisten untuk mengumpul keseluruhan 2,020 jatuhan pin selepas lapan permainan, sekali gus meninggalkan pencabar terdekat, Tun Hakim dari MTBC yang meraih 1,918 pin.
Tempat ketiga pula menjadi milik Megat Zaqrul Haiqal dari FND Empire dengan 1,915 pin.
Kemenangan tersebut melengkapkan rentetan cemerlang Rafiq yang kini meraih tiga gelaran berturut-turut dalam tempoh sebulan selepas turut muncul juara Terbuka Malaysia dan Terbuka Singapura.
Menurutnya, pencapaian berkenaan menjadi antara kenangan paling bermakna sepanjang bergelar atlet profesional kerana berjaya dicapai dalam tempoh yang mencabar.
“Menang tiga kejohanan berturut-turut bukan sesuatu yang mudah. Saya anggap ini antara detik paling istimewa dalam karier saya setakat ini,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan itu turut didorong oleh sokongan berterusan daripada keluarga, isteri, badan-badan sukan serta penaja yang sentiasa berada di belakangnya.
“Saya amat bersyukur kerana mempunyai sistem sokongan yang sangat kuat. Mereka sentiasa membantu dan memberi semangat kepada saya untuk terus berusaha,” katanya.
Dalam masa sama, Rafiq mendedahkan kegembiraannya selepas menjuarai Terbuka Singapura tidak bertahan lama apabila mendapati rumahnya telah dipecah masuk sebaik pulang ke tanah air.
Katanya, beberapa barangan berharga termasuk barang kemas, beg tangan berjenama dan barangan peribadi lain dilaporkan hilang dalam kejadian tersebut.
Lebih menyentuh perasaan, sebuah konsol permainan PlayStation 5 yang diterimanya sebagai hantaran perkahwinan turut dilarikan suspek.
“Bukan soal nilai barang itu semata-mata. PS5 tersebut mempunyai kenangan tersendiri kerana ia adalah hantaran perkahwinan saya. Sebab itu saya agak terkilan apabila ia hilang,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memilih untuk melihat insiden berkenaan dari sudut positif dan menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk terus bekerja keras.
“Saya reda dengan apa yang berlaku. Kes masih dalam siasatan dan saya berharap pihak berkuasa dapat membantu menyelesaikannya. Apa yang penting, saya mahu terus fokus kepada kerjaya dan masa depan,” katanya.
Selepas ini, Rafiq dijadual menyertai sesi pemilihan ke Hong Kong sebelum mengalihkan tumpuan kepada dua kejohanan utama penghujung tahun iaitu Kejohanan Asia dan Piala Dunia.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Tenpin Boling Kuala Lumpur, Tan Sri Mohd Noor Abdul Rahim menyifatkan sambutan edisi ke-50 kejohanan itu sebagai membanggakan dengan penyertaan meluas pemain tempatan dan antarabangsa.
“Saya berasa bangga sekali kerana sambutan tahun ini amat menggalakkan,” katanya.
Beliau turut melahirkan kebanggaan terhadap kejayaan Rafiq Ismail yang muncul juara selepas dibentuk melalui program pembangunan bakat Kuala Lumpur sejak kecil.
“Dia betul-betul kami didik masa kecil lagi dan sekarang sudah berada di mercu dunia boling,” katanya.






