Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa Kerajaan Madani masih belum melunaskan sepenuhnya komitmen kewangan yang dipersetujui bagi usaha memulihkan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH).

Memetik laporan MalaysiaGazette, Presiden Parti Bersama Malaysia (Bersama) itu berkata, kerajaan sepatutnya memenuhi komitmen berkenaan dengan menebus keseluruhan RM12.5 bilion yang perlu dibayar kepada TH, sama ada melalui pembayaran tunai atau aset yang mempunyai nilai setara.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi menggantikan RM12.5 bilion aset TH yang sebelum ini hanya berupa aset atas kertas tanpa aliran tunai, iaitu sukuk Urusan Jamaah Sdn Bhd (UJSB), kepada aset yang lebih cair serta mampu menjana aliran tunai seperti wang, saham dan hartanah.
Bagaimanapun, Rafizi memaklumkan, daripada keseluruhan RM12.5 bilion yang perlu dilunaskan itu, hanya RM965 juta diselesaikan dalam bentuk hartanah, membabitkan sebidang tanah di Tun Razak Exchange (TRX) serta tanah-tanah ladang di Sarawak.
Katanya, baki kira-kira RM11.5 bilion pula dilunaskan menerusi penerbitan satu lagi sukuk baharu yang mempunyai tempoh matang selama 10 tahun. Ini bermakna kerajaan perlu membayar semula RM11.5 bilion kepada TH pada 2036.
“Sepanjang saya menjadi Menteri Ekonomi, saya ingat kerajaan memang membuat peruntukan lebih dari RM1 bilion setahun untuk melunaskan sukuk UJSB ini bila matang pada 29 Mei 2026.
“Oleh itu, sewajarnya perbahasan Parlimen esok mendapat penjelasan yang berterus terang daripada kerajaan ke mana wang berbilion yang diperuntukkan selama ini untuk memulihkan Tabung Haji telah pergi?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Artikel lain: Rafizi puji calon Bersama berani sentuh isu khinzir -“Kalau jadi wakil rakyat kena wakili semua”
Dalam pada itu, Rafizi memberi peringatan bahawa TH berpotensi berdepan risiko kecairan aset dan aliran tunai pada masa hadapan sekiranya kerajaan semasa dan kerajaan akan datang terus menangguhkan komitmen pembayaran sukuk UJSB.
Beliau berkata keadaan itu boleh berlaku jika sukuk berkenaan terus digantikan dengan instrumen hutang baharu, sekali gus hanya memindahkan liabiliti dari satu tempoh ke tempoh yang seterusnya.
Sumber: MalaysiaGazette
