khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi pada 28 Mei lalu disebabkan melihat kepada ‘isyarat’ diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hilang keyakinan kepadanya.
Menerusi ‘Podcast Yang Berhenti Menteri’ yang disiarkan di saluran YouTubenya malam ini, Rafizi turut mengambil contoh pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Mei lalu apabila Nurul Izzah Anwar mencabarnya dalam jawatan Timbalan Presiden.
“Apabila Nurul Izzah bertanding, semua orang tahu itu mendapat restu daripada Presiden parti yang juga Perdana Menteri.
“Bila restu Perdana Menteri untuk anaknya bertanding mencabar Timbalan Presiden, isyaratnya cukup jelas bahawa Presiden parti yang juga Perdana Menteri telah hilang keyakinan dengan saya sebagai Timbalan Presiden yang juga Menteri Ekonomi.
“Bila mesej itu jelas, akan diterjemahkan dalam kerajaan bahawa Perdana Menteri telah hilang keyakinan dengan Timbalannya di dalam parti yang juga Menteri Ekonomi,” dakwanya.
Rafizi sebelum ini dilapor telah menghantar sepucuk surat peletakan jawatan Menteri Ekonomi kepada Anwar yang berkuat kuasa pada 17 Jun lalu.
Rafizi berkata, langkah itu diambil sebagai menghormati prinsip kebertanggungjawaban dan mandat rakyat yang menjadi tunjang perjuangannya dalam politik sejak awal pembabitannya.
Mengulas lanjut, Rafizi turut menyifatkan dirinya akan menjadi ‘menteri yang hilang kuasa’ jika masih kekal dengan jawatan itu.
“Kalau saya terus nak buat kerja yang bagi saya ada kesan kepada negara, ia akan mengheret kementerian saya,” katanya.
Rafizi berkata, beliau tidak mahu kerja atau penat lelah yang dilakukan oleh penjawat awam di dalam kementeriannya ditolak oleh mana-mana pihak.
“Saya juga kena fikir mengenai fungsi dan peranan Kementerian Ekonomi itu supaya tidak terheret dalam perkara ini.
“Yang ini saya ingat agak berbeza antara syarikat swasta dan kerajaan kerana kerajaan ini memerlukan ligitimasi untuk kita melakukan perubahan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd