Ragbi 7s Kebangsaan: Terengganu curi tumpuan hari pertama

Ragbi 7s Kebangsaan: Terengganu curi tumpuan hari pertama


PASUKAN tuan rumah Terengganu melaungkan amaran awal apabila membuka kempen peringkat kumpulan Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah (7s) dengan noktah kemenangan.

Terengganu yang diundi dalam Kumpulan A bermula garang apabila membelasah Melaka, 26-0 sebelum menewaskan Negeri Sembilan, 15-5.

Johor juga membuka tirai kumpulan sama dengan dua kemenangan ke atas Negeri Sembilan (17-7) dan Putrajaya (17-7).

Kumpulan B pula menyaksikan Kelantan lebih unggul apabila mengharungi hari pertama dengan kemenangan ke atas Perlis, 38-7 dan Selangor, 38-12.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut memulakan aksi dengan langkah kanan apabila membelasah Pahang, 12-0 sebelum mengatasi Sarawak, 28-7.

Dalam kategori Wanita Terbuka, Terengganu juga menampilkan aura tersendiri apabila menjinakkan Melaka, 46-0 diikuti Sarawak, 50-0, manakala Selangor turut garang apabila menewaskan Sarawak, 48-0 dan Melaka, 38-0.

Bagi kategori Lelaki Bawah 21 Tahun (B-21), Johor melaungkan amaran awal apabila menang ke atas Kelantan, 28-5 diikuti 29-5 ke atas Terengganu, yang sebelum itu bermula cemerlang dengan membelasah Melaka, 27-7 dalam Kumpulan D.

Selangor pula menjelmakan kegarangan apabila membenam cabaran Pahang, 26-0 dan menewaskan Kedah, 21-10 dalam aksi Kumpulan F.

Dalam kategori Wanita B-21, Selangor lebih awal menunjukkan taring apabila menewaskan Labuan, 27-0 diikuti Melaka, 14-7 dalam aksi Kumpulan G.

Sementara itu, Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) menaruh harapan besar terhadap penganjuran 7s Kebangsaan dengan misi menjadikan Terengganu sebagai hab sukan ragbi peringkat kebangsaan serta medan pendedahan untuk bakat pelapis negeri.

Setiausahanya, Wan Mohd Tarmizi Wan Jusoh berkata, penyertaan penuh Terengganu dalam semua kategori pada edisi tahun ini bukan sahaja menyasarkan pencapaian di atas padang, malah bertujuan menjadikan kejohanan itu sebagai platform pembangunan menyeluruh sukan ragbi tanah air.

Menurut beliau, penyertaan semua pasukan dari seluruh negara amat digalakkan memandangkan kejohanan ini hanya diadakan sekali setahun dengan kerjasama Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), dan penganjurannya di Kuala Terengganu kali ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

“PRNT juga komited memastikan penganjuran edisi kali ini mencapai standard tertinggi dan menjadikan Terengganu sebagai antara venue terbaik yang pernah digunakan dalam sejarah kejohanan 7s kebangsaan.

“Kejohanan ini juga dilihat sebagai platform penting untuk mendedahkan bakat-bakat muda dan baharu kepada suasana pertandingan berprestij sebelum mereka dihantar menyertai kejohanan bertaraf antarabangsa pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Mohd Tarmizi berkata, keutamaan diberi kepada pemain muda kerana mereka merupakan generasi pelapis yang akan menggantikan pemain senior apabila tiba masanya, dan mereka wajar diberi peluang bersaing di pentas besar seperti Kejohanan 7s Kebangsaan.

Katanya, pasukan senior lelaki kali ini turut diperkuat dengan 90 peratus pemain yang mewakili Terengganu di temasya SUKMA Sarawak tahun lalu, yang meraih pingat perak selepas tewas kepada Johor dalam aksi final.

“Pasukan bawah 21 tahun lelaki dan wanita pula diharapkan dapat membiasakan diri dengan suasana kejohanan besar seperti ini sebagai persiapan menghadapi SUKMA akan datang, selain menjadi pelapis kukuh kepada pasukan senior negeri,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top