Ragbi Arau 7s jadi medan uji skuad Perlis

Ragbi Arau 7s jadi medan uji skuad Perlis



sukan@hmetro.com.my

Arau: Walaupun Sukan Malaysia (Sukma) 2026 yang bakal berlangsung di Selangor masih berbaki 16 bulan lagi, pasukan ragbi lelaki Sukma Perlis mahu menjadikan Kejohanan Ragbi Arau 7s Piala Pengarah Kolej Vokasional (KV) Arau sebagai medan untuk menguji pemain lama dan baru dalam usaha memantapkan prestasi pasukan menjelang temasya itu nanti.

Malah, kejohanan yang bakal berlangsung di Padang KV Arau bermula esok hingga lusa itu turut dijadikan pasukan ragbi Sukma dari negeri di bahagian Utara seperti Kedah dan Pulau Pinang sebagai tapak yang sama untuk menguji pemain sedia ada dari negeri berkenaan sebelum sebarang perubahan terhadap taktikal pasukan dilakukan.

Naib Presiden Persatuan Ragbi Perlis, Mohd Azwan Mansor berkata, pasukan ragbi lelaki Sukma Perlis meletakkan kejohanan yang bakal berlangsung ini sebagai Pra Sukma.

“Saya faham setiap negeri (termasuk Perlis) masih lagi dalam proses pemilihan pemain dan setiap kejohanan yang disertai kita adalah suatu tempat buat kita untuk mengubah serta menguji kepelbagaian pemain yang kita ada sekarang.

“Tahun ini kita jadikan sebagai tahun untuk memilih barisan pemain yang mantap untuk dibawa ke Sukma tahun hadapan,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Pra Pelancaran Kejohanan Ragbi Arau 7s Piala Pengarah Kolej Vokasional (KV) Arau serta Pengenalan Jersi Pasukan Ragbi KV Arau, di KV Arau di sini hari ini.

Turut hadir adalah Pengarah Kejohanan, Hairul Nizam Rahibun, wakil Kelab Ragbi VoCaroba, Mohd Hanif Halim dan Pengarah Pemasaran Strike Active World, Hazim Hazmie Norman selaku penaja kejohanan.

Katanya, walaupun pasukan ragbi lelaki Sukma Perlis mempunyai barisan pemain utamanya sendiri namun pasukan berkenaan tetap mahu mencuba pemain baru yang mampu memberi impak kemenangan kepada pasukan kelak.

“Kita ada core player kita sendiri tetapi kita di masih di peringkat awal dan banyak lagi kejohanan yang akan disertai untuk uji cuba pemain yang berada dalam skuad kita.

“Jadi diharapkan pemain yang ada dapat terus memberikan persembahan terbaik terutama dalam kejohanan ini,” katanya.

Bagi Pengarah KV Arau, Mat Yusoff Saad melihat pembangunan ragbi di kolej kendaliaannya itu sangat memberangsangkan setiap tahun di mana kejohanan seperti itu sering dijadikan sasaran untuk membawa skuad ragbi KV Arau ke peringkat lebih tinggi lagi.

“Saban tahun, pembangunan ragbi di KV Arau ini berterusan setiap tahun dan banyak melahirkan jaguh ragbi sehingga ke peringkat kebangsaan dan kita turut berterima kasih dengan Kelab Ragbi VoCaroba selaku Alumni KV Arau yang banyak membantu dalam pembangunan serta penganjuran kali ini.

“Kejohanan ini juga adalah persiapan kita menghadapi Kejohanan Sukan Kolej Vokasional (Sukov) serta Kejohanan Ragbi Antara Kolej Vokasional Kebangsaan di Port Dickson selepas ini dan kita jadikan ia sebagai pemanas badan untuk ke kejohanan berkenaan,” katanya.

Kejohanan Ragbi Arau 7s Piala Pengarah Kolej Vokasional (KV) Arau adalah edisi ke-15 yang sudah dilaksanakan sejak 2002 dan bagi edisi kali ini seramai 384 pemain daripada 32 pasukan akan bertanding dalam dua kategori iaitu bawah 17 tahun dan bawah 20 tahun bagi merebut piala berprestij itu.

Bagi bawah 17 tahun, Perlis diwakili empat pasukan termasuk KV Arau manakala beberapa sekolah lain yang bersaing adalah dari Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Johor.

Manakala bagi bawah 20 tahun pula, Perlis diwakili lima pasukan termasuk Boder Boys Jr yang juga Skuad Ragbi Sukma Perlis dan negeri lain seperti Kedah dan Pulau Pinang turut menurunkan skuad ragbi Sukma mereka yang diwakili Helang Seven (Kedah) dan Bad Boys RC (Pulau Pinang).

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top