Ragbi Johor melangkah gagah

Ragbi Johor melangkah gagah


PRESIDEN Kesatuan Ragbi Johor (JRU), Datuk Noorazam Osman menyifatkan kejayaan memperoleh Geran A berjumlah RM100,000 sebagai satu pengiktirafan penting terhadap usaha berterusan badan induk itu dalam memartabatkan pembangunan sukan ragbi di negeri berkenaan.

Menurut beliau, pencapaian tersebut juga membuktikan bahawa hala tuju pembangunan bakat dan struktur pentadbiran ragbi di negeri selatan tanah air itu kini berada pada landasan tepat dan progresif.

“Alhamdulillah, syukur. Kejayaan meraih Geran A ini bukan sekadar satu penghargaan atas usaha gigih JRU selama ini, malah menjadi suntikan semangat untuk kami terus mempergiatkan program pembangunan bakat muda dan memperkukuh ekosistem sukan ragbi dari peringkat akar umbi.

“Dana ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi mempertingkatkan program latihan, menganjurkan kejohanan di peringkat negeri dan kebangsaan, serta memperluas usaha pencarian bakat baharu, khususnya dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah,” katanya.

Pada masa sama jelas Noorazam, JRU amat menghargai sokongan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan misi pembangunan ragbi di Johor.

“Terima kasih kepada para jurulatih, pemain, pegawai, serta para penyokong yang terus memberikan kepercayaan dan semangat kepada JRU dalam usaha mengangkat martabat sukan ragbi negeri ini ke tahap lebih tinggi,” ujarnya lagi.

JRU sebelum itu menerima Geran A tersebut sempena Majlis Anugerah Penggredan Persatuan Sukan Negeri Johor 2025 yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), bertempat di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru, pada Khamis.

Pada majlis itu, JRU diwakili Naib Presiden 1, Hendra Syahril Zainal; Naib Presiden 2, Mohd Najib Mohd Johan; serta Timbalan Setiausaha Kehormat, Mohd Hanafi Ali menerima geran yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Kebudayaan dan Sukan Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah.

INFO

Ini kali pertama Kesatuan Ragbi Johor (JRU) menerima pengiktirafan yang berdasarkan beberapa kriteria utama, termasuk hala tuju strategik persatuan, keberkesanan pelaksanaan program sepanjang tahun, pencapaian pasukan dari peringkat akar umbi, serta prestasi cemerlang dalam kejohanan seperti SUKMA, Piala Agong, Kejohanan Kebangsaan, dan lain-lain.



Source link

OR

Scroll to Top