Barisan skuad ragbi wanita 7s negara yang mengalas cabaran di SEA 7s 2025. – Foto KRM
PEMAIN penyerang skuad ragbi tujuh sebelah (7s) wanita negara, Dinah Syafiqah Sadali meletakkan sasaran pentas perlawanan akhir selepas berada dalam kelompok tiga terbaik edisi Kejohanan Tujuh Sebelah Asia Tenggara (SEA 7s) edisi lalu.
“Sasaran peribadi semestinya mahu meningkatkan prestasi sendiri supaya dapat memberikan persembahan terbaik seterusnya menyumbang kepada kemaraan lebih jauh pasukan. Dan sudah pastinya sasaran utama kami adalah untuk melangkah ke pentas perlawanan akhir SEA 7s 2025.
“Bagi tujuan itu, kami mengadakan sesi kelas menonton video untuk menganalisis perlawanan pasukan lawan bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan.
“Ini termasuk juga strategi mereka dalam menyerang dan bertahan sepanjang perlawanan serta mengenal pasti pemain utama dalam pasukan pihak lawan,” katanya kepada Sukan Sinar.
Skuad Bunga Raya wanita negara sebelum ini melabuh kempen edisi 2024 di tangga ketiga selepas menjinakkan Indonesia, 38-5 pada perlawanan tempat ketiga dan keempat.
Ditanya komitmen dari segi corak latihan dan rakan sepasukan dengan kehadiran pemain baharu, pemain berusia 23 tahun itu menegaskan setiap pemain mempunyai peranan dalam memastikan kejayaan pasukan.
“Setiap pemain perlu memahami peranan masing masing, pemain lama bertanggungjawab untuk membimbing pemain baharu agar dapat menyesuaikan diri dengan gaya permainan pasukan.
“Kami juga perlu lebih fokus untuk membina komunikasi serta kefahaman dari segi taktikal antara pemain lama dan pemain baharu bagi membentuk kekuatan pasukan,” katanya.
Saingan SEA 7s membuka gelanggang dari 4 hingga 5 April dengan perlawanan berlangsung di Stadium Jurong Barat, manakala aksi akhir di Stadium Nasional.
Skuad kendalian Muhammad Faiz Samsukhidir akan berdepan Singapura sebelum menentang Indonesia pada Jumaat.
KEJOHANAN TUJUH SEBELAH ASIA TENGGARA (SEA 7S)
BUNGA RAYA 7S WANITA
PENGURUS:
Tan Thiam Jin
KETUA JURULATIH:
Muhammad Faiz Samsukhidir
PEMAIN:
1. Dinah Syafiqah Sadali
2. Siti Nursyamimi Tajudin
3. Rozaliana Mohd Ridwan (Kapten)
4. Josie Mavcellina Gone
5. Nur Izzah Azizan
6. Nur Alyia Nabila Samsubahari
7. Nurul Fatin Hidayah Mohd Nazri
8. Wan Noor Syafiqa Mohd Radza
9. Henrietta David
10. Alvyromela Antonius
11. Nur Najibah Muhammad Nabil Ranjit
12. Nurin Hannan Abd Hadi