Rahsia mustajab doa

Rahsia mustajab doa


DI SEBALIK pelbagai kelebihan dan ganjaran yang dijanjikan ALLAH SWT pada bulan Ramadan, terdapat satu lagi keistimewaannya iaitu bulan mustajab doa.

Setiausaha Agung Multaqa Asatizah & Du’at (Murshid), Dr Azmir Azri Ahmad menjelaskan, Ramadan bukanlah semata-mata bulan untuk umat Islam menahan lapar dan dahaga, bahkan ia merupakan bulan al-Quran dan juga bulan dimustajabkan doa.

“ALLAH SWT memulakan perbahasan mengenai kewajipan berpuasa dalam ayat ke-183 surah al-Baqarah sebelum menyebut tentang penurunan al-Quran pada ayat ke-185 iaitu sebagai petunjuk dan hidayah kepada manusia.

DR AZMIR AZRI

“Dan seterusnya ALLAH SWT menyelitkan ayat tentang doa pada ayat ke-186 surah yang sama.

“Ia bermaksud seolah-olah ALLAH ingin mengajar kita bahawa Ramadan bukan hanya tentang menahan diri, tetapi ALLAH juga mendengar doa daripada hamba-hamba-NYA,” jelasnya.

Ujarnya, Syeikh Sulaiman Ar-Ruhaily pernah ditanya mengenai waktu mustajab doa bagi orang-orang yang berpuasa dan beliau menjelaskan, berdasarkan himpunan hadis, tiada satu waktu khusus yang ditetapkan secara tepat.

“Ini bermakna doa orang yang berpuasa berpotensi dimakbulkan sepanjang hari sama ada selepas Subuh, waktu Zuhur, sebelum berbuka atau ketika berbuka puasa.

“Maka rugilah kita jika berpuasa tetapi tidak memperbanyakkan berdoa,” hurainya.

Selain itu katanya, Ibnu Jawzi juga apabila diminta untuk menggambarkan Ramadan, beliau berkata: “Tidak ada satu doa pun melainkan didengari, tidak ada satu amalan pun melainkan ia diangkat, tidak ada satu kebaikan pun melainkan dihimpunkan dan tidak ada satu mudarat pun melainkan ia ditepis.”

Tambahnya, golongan salaf dahulu akan mengkhususkan doa-doa tertentu yang mereka ulang dan bersungguh-sungguh memohonnya sepanjang bulan Ramadan.

“Begitu juga dalam sujud, selepas solat, sebelum berbuka dan ketika berbuka puasa serta pada waktu sahur iaitu pada sepertiga malam.

“Sebagaimana para generasi salaf memperbanyakkan doa pada bulan Ramadan, marilah kita merebut peluang untuk berdoa padanya dan memilih waktu mustajabnya doa.

DOA sebelum berbuka dan ketika berbuka puasa diamalkan golongan salaf. Foto Canva

DOA sebelum berbuka dan ketika berbuka puasa diamalkan golongan salaf. Foto Canva

“Seterusnya mengungkapkan doa dengan penuh adab dan seni-seni sebagaimana ALLAH dan Rasulullah mengajarkan kepada kita,” hurainya.

Antara adab dan seni berdoa:

1 – Berdoa dengan suara lembut sebagaimana Nabi Zakaria

Nabi Zakaria AS berdoa dengan suara perlahan dan tersembunyi sebagaimana firman ALLAH SWT dalam ayat ketiga surah Maryam: “(Ingatkanlah peristiwa) ketika Zakaria berdoa kepada Tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan.”

2 – Semasa mengungkap doa, nyatakan kelemahan diri di hadapan ALLAH

Nabi Zakaria AS mengakui tulangnya telah lemah dan rambutnya telah memutih ketika baginda berdoa kepada ALLAH SWT.

3 – Utamakan hak ALLAH dalam permintaan

Nabi Zakaria AS tidak hanya meminta anak kerana keinginan peribadi baginda, tetapi kerana bimbang legasi dakwah terhenti.

PERBANYAKKAN doa pada Ramadan kerana ia juga bulan dimustajabkan doa. Foto Canva

PERBANYAKKAN doa pada Ramadan kerana ia juga bulan dimustajabkan doa. Foto Canva

“Dalam doa kita, sebutlah: ‘Ya ALLAH, berikan rezeki agar aku dapat membantu agama-MU’,” ujar Dr Azri Ahmad.

4 – Jangan melampau dalam doa

Rasulullah SAW mengingatkan bahawa akan datang kaum yang melampaui batas dalam berdoa kerana terlalu terperinci sehingga hilang roh perhambaan diri.

5 – Ungkapan yang tidak pernah rasa hampa kepada ALLAH

Nabi Zakaria AS juga mengungkapkan tidak pernah merasa hampa dengan doa kepada ALLAH walaupun baginda menanti sehingga lanjut usianya.

“Ini adalah salah satu bentuk tawasul atau menzahirkan rasa pengharapan, tidak putus asa dan bersangka baik kepada ALLAH,” jelasnya.

6 – Sentiasa berterusan berdoa ketika senang dan susah

Secara lumrah, manusia akan memohon dan merayu kepada MAHA BERKUASA ketika berada dalam kesempitan dan sangat jarang untuk berdoa ketika senang.

Sebagai penutup, Dr Azmir Azri menasihatkan umat Islam agar mengambil kesempatan pada bulan Ramadan ini, khususnya pada malam-malam ganjil untuk bermunajat sepenuh hati kepada ALLAH SWT.

“Yakinlah doa seorang hamba tidak pernah hilang. Sama ada ia diperkenankan segera, ditangguhkan untuk waktu terbaik atau disimpan sebagai ganjaran di akhirat,” jelasnya.

Ringkasan AI

  • Ramadan adalah bulan mustajab doa
  • Bulan ini bukan hanya untuk berpuasa tetapi juga untuk berdoa yang dimakbulkan ALLAH SWT
  • Doa orang yang berpuasa berpotensi dimakbulkan sepanjang hari
  • Golongan salaf memperbanyakkan doa sepanjang Ramadan
  • Berdoa dengan adab seperti berdoa dengan suara lembut dan mengakui kelemahan diri di hadapan ALLAH



Source link

OR

Scroll to Top