Raih RM5.15 juta bawa pelancong guna kereta sukan diubah suai secara haram

Raih RM5.15 juta bawa pelancong guna kereta sukan diubah suai secara haram


Tokyo: Seorang lelaki warga Brazil yang mengendalikan sebuah syarikat pelancongan ditahan polis Tokyo pada Rabu atas syak wasangka mengendalikan kereta sukan Jepun yang diubah suai secara haram.

Memetik Japan Today, kereta itu juga dilaporkan diselenggara dengan buruk untuk aktiviti lawatan persiaran bagi pelancong asing.

Jabatan Polis Metropolitan memaklumkan, suspek, Danilo Gomes da Rocha, 34, menjalankan lawatan membawa pelancong asing mengelilingi Tokyo dan kawasan sekitarnya menggunakan kereta sukan Jepun.

Menurut polis, aktiviti berkenaan menjana kira-kira 200 juta yen (kira-kira RM5.15 juta) hasil jualan tahunan dan syarikat berpangkalan di Tokyo itu turut dirujuk kepada pihak pendakwa raya.

“Bagaimanapun, suspek menafikan dakwaan berkenaan dengan mendakwa dia tidak menyedari kenderaan terbabit diselenggara dengan buruk.

“Suspek juga mengupah individu untuk memandu dua kereta rosak di Wad Koto, Tokyo, kira-kira jam 10 malam pada 21 November 2025 lalu,” kata pihak polis.

Difahamkan, kenderaan berkenaan dilaporkan mempunyai sistem ekzos yang diubah suai bagi menghasilkan bunyi yang lebih kuat.

Susulan itu, siasatan dijalankan selepas polis menerima maklumat sekitar musim luruh tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top