BERPUASA buat pertama kali merupakan milestone besar bagi setiap kanak-kanak.
Menurut perspektif pendidikan awal, fasa ini bukan sekadar menahan lapar, malah satu latihan disiplin dan kesabaran.
Dalam Islam, tujuan utama puasa adalah untuk mencapai ketakwaan, sebagaimana firman ALLAH SWT dalam ayat ke-183 Surah Al-Baqarah: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.”
Walaupun anak-anak nampak bersemangat, realitinya bukan mudah bagi mereka untuk mengubah rutin makan harian secara mendadak.
Kebimbangan utama ibu bapa biasanya ialah keletihan melampau atau anak-anak ‘curi makan’ pada siang hari.
Namun, ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran yang perlu dilalui dengan penuh kasih sayang, bukannya paksaan.
Situasi anak-anak mengadu lapar atau ‘drama’ di awal pagi waktu sahur merupakan lumrah yang menjadi kenangan manis apabila mereka dewasa kelak.
Latih anak berpuasa
Sejarah mencatatkan bahawa para sahabat Nabi SAW dahulu juga melatih anak-anak mereka berpuasa berdasarkan hadis yang diriwayatkan Musaddad, beliau berkata:
“Nabi SAW telah mengirimkan petugas ke perkampungan Ansar yang berada di sekitar Madinah untuk menyampaikan pengumuman pada pagi Asyura: ‘Siapa yang berpuasa sejak pagi hari, hendaklah ia menyempurnakan puasanya dan siapa yang tidak berpuasa hendaklah ia berpuasa.’
“Semenjak itu, kami berpuasa pada hari Asyura dan kami menyuruh pula anak-anak kecil kami berpuasa. Kami buatkan mereka mainan daripada bulu, apabila ada yang menangis meminta makanan, kami berikannya mainan tersebut sehinggalah sampai waktu berbuka tiba.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
KETIKA anak-anak merengek untuk makan, berilah mainan supaya mereka boleh bermain-main sementara menunggu waktu berbuka. Foto Canva
Begitulah sahabat Nabi Muhammad SAW mendidik anak-anak mereka berpuasa dengan menyediakan permainan supaya mereka leka bermain sehingga sampai waktu berbuka.
Berdasarkan pemerhatian, trend anak-anak mahu berpuasa meningkat apabila suasana Ramadan di rumah dirasai dengan ceria.
Namun, kecenderungan tinggi anak-anak untuk ‘berbuka awal’ jika tiada sokongan moral.
Ibu bapa main peranan
Oleh itu, pihak ibu bapa perlu memainkan peranan sebagai penyuntik semangat, bukan sekadar menjadi ‘polis’ yang memerhati kesalahan mereka.
Segala-galanya bermula dengan niat yang betul untuk membina kesedaran dalaman anak. Kesedaran ini kemudiannya diperkukuhkan dengan kepentingan sahur yang memberikan ‘bahan api’ fizikal.
Tanpa dimulai dengan niat yang kuat, sahur hanyalah makan pagi biasa. Begitu juga tanpa sahur, niat yang kuat mungkin tewas dengan keletihan fizikal.
Tidur awal pada malam sebelumnya juga penting bagi memastikan mereka tidak meragam di meja sahur. Tenaga yang diperolehi daripada sahur itu pula perlu dijaga dengan melakukan aktiviti ringan sahaja di siang hari.
Jika anak terlalu aktif, mereka akan cepat lapar, sekaligus menggugat niat yang telah dipasang awal pagi tadi. Sambil menunggu waktu berbuka dengan aktiviti ringan, ibu bapa memberikan motivasi melalui menu kegemaran di meja makan.
Keseronokan mendapat makanan kegemaran disusuli pula dengan sistem ganjaran (seperti pujian atau hadiah kecil) sebagai pengiktirafan atas usaha mereka.
Ini membina persepsi positif bahawa berpuasa adalah ibadah yang membahagiakan. Di celah-celah ketika menunggu waktu berbuka, cerita sirah disampaikan untuk mengisi minda anak dengan ilmu, supaya mereka faham mengapa mereka perlu berusaha mengejar ganjaran tersebut.

DIDIKAN sejak kecil memberi kesan mendalam terhadap anak-anak. Foto Canva
Sabar dalam mendidik Akhir sekali, segalanya diserahkan kepada ALLAH melalui doa agar hati anak ditetapkan iman, sementara ibu bapa mengamalkan keadilan dan kasih sayang dengan tidak membandingkan anak dengan orang lain.
Bagi memastikan kelangsungan survival puasa anak-anak, strategi paling ampuh ialah kesabaran ibu bapa.
Kestabilan emosi dalam rumah tangga amat penting bagi memastikan persekitaran yang kondusif untuk anak belajar berpuasa. Jangan terlalu tegas sehingga mereka trauma dengan bulan Ramadan.
Sebaliknya, jadikan bulan ini sebagai medan jalinan diplomasi kasih sayang antara ahli keluarga. Kesimpulannya, puasa pertama bagi anak-anak bukan sekadar ritual, tetapi pelaburan rohani untuk masa depan.
Dengan bimbingan yang betul, ia akan meningkatkan jati diri dan kesyukuran dalam diri mereka.
***DR MOHAMAD ZAIM ISAMAIL merupakan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar
***DR AZIZUR RAHMAN RAMLI ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat






