Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memberi amaran tegas terhadap individu yang didapati membuang sampah merata-rata selepas penganjuran KL Rain Rave Musical 2026.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diambil termasuk kompaun sebanyak RM2,000 serta hukuman khidmat masyarakat selama 12 jam terhadap pesalah terlibat.
Menurutnya, sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengunjung boleh mencemarkan imej negara, walaupun acara tersebut berjaya menarik kehadiran puluhan ribu pengunjung dari dalam dan luar negara.

Beliau turut menyifatkan penganjuran KL Rain Rave Musical 2026 sebagai kejayaan besar apabila lebih 80,000 pengunjung hadir secara fizikal, manakala lebih 200,000 tontonan direkodkan secara dalam talian dengan jumlah capaian melebihi 50 juta.
Acara berkenaan yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia itu turut menjadi antara program utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026), sekali gus memperkukuh sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa Malaysia merupakan negara yang mengangkat nilai kepelbagaian sebagai kekuatan utama.
“Bagi mereka yang ingin datang, kami alu-alukan. Bagi yang tidak bersetuju, itu hak anda untuk tidak hadir. Semudah itu,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa dalam negara berbilang kaum, rakyat perlu saling menghormati antara satu sama lain tanpa menghakimi cara hidup orang lain.
“Anda boleh memilih cara hidup masing-masing, tetapi jangan menghakimi orang lain seolah-olah anda lebih suci. Hormati orang lain sebagaimana anda mahu dihormati,” katanya.
Artikel lain: Basah kuyup! King Sing terharu berbilang kaum sertai Festival Muzik Air -“Cukup bermakna”
Nga dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada petugas kebersihan termasuk SW Corp yang bertungkus-lumus memastikan kawasan acara kembali bersih selepas program berakhir.


Menurutnya, mereka adalah wira tidak didendang yang wajar dihargai atas usaha menjaga kebersihan bandar.
“Pastikan negara kita kekal bersih, raikan kepelbagaian dan fokus kepada pembangunan negara,”tambah beliau.
Tegas beliau, aspirasi “Malaysia Bersih, rakyat sejahtera” hanya boleh dicapai jika semua pihak memainkan peranan menjaga kebersihan dan disiplin bersama.
Sumber: FB Nga Kor Ming






