Pelakon dan pengacara Raja Azura mendedahkan dia membuat iklan di akhbar mencari bekas suamiya, Adzmin Osman untuk menyelesaikan tuntutan nafkah tiga anaknya.
Memetik Harian Metro, Raja Azura berkata pendekatan itu diambil susulan bekas suaminya gagal hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dan iklan tersebut diuruskan oleh peguamnya.
BACA: Raja Azura Tuntut Nafkah Anak Selepas 15 Tahun Bercerai
“Selepas iklan ini keluar, barulah saya boleh bercakap secara umum bahawa ini adalah notis rasmi daripada mahkamah syariah.
“Harapan saya, Encik Adzmin datanglah ke mahkamah dan selesaikan apa yang perlu. Kalau buat cara baik, lebih elok. Kalau dibiarkan, nanti jadi panjang,” katanya.
Sementara itu, Raja Azura berkata dia yakin bekas suaminya itu masih berada dalam negara serta meminta secara baik agar Adzmin hadir ke mahkamah.
“Saya rasa dia masih di Malaysia. Saya minta dengan cara baik. Saya bukan merayu. Saya hanya nak dia hadir. Tiada istilah merayu. Sila hadir, Encik Adzmin, 3 Disember nanti,” katanya.
Untuk rekod, Raja Azura dan Adzmin yang juga anak kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff, mendirikan rumah tangga pada 2001 namun berpisah pada 28 September 2010.
Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq Adzmin, 23, Megat Luqman Hakim Adzmin, 22 dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 20 tahun.
Sumber: Harian Metro





