Raja Halangan bangkit selepas setahun

Raja Halangan bangkit selepas setahun


ATLET sukan lasak negara, Saddam Pittli membuktikan dia masih berada di kelas tersendiri apabila menjuarai Kategori Elit Lelaki Spartan Malaysia 2025 yang berlangsung di Sepang.

Saddam menamatkan saingan sejauh 21 kilometer melibatkan 30 halangan dengan catatan masa 1 jam 46 minit 17 saat, sekali gus menewaskan pencabar antarabangsa dalam acara penuh mencabar ketahanan fizikal dan mental itu.

Kejayaan tersebut lebih manis apabila ia menandakan kepulangan semula Saddam ke pentas Spartan selepas hampir setahun berehat daripada sebarang perlumbaan.

“Hampir setahun saya tidak sertai Spartan. Banyak kejohanan di Thailand dan Filipina saya lepaskan sebab mahu beri tumpuan pada pertandingan lain.

“Apabila kali ini dianjurkan di Kuala Lumpur, saya nekad untuk kembali dan sasaran utama memang nak menang untuk Malaysia,” katanya selepas perlumbaan.

Atlet Rusia, Oleg Stepanov menamatkan saingan di tempat kedua dengan masa 1:54:18, manakala wakil Singapura, Ludovic Guyonvarch di tempat ketiga (2:07:48).

Mengulas mengenai strategi kemenangan, Saddam menjelaskan kuncinya adalah disiplin dalam kelajuan dan ketepatan mengharungi setiap halangan bagi mengelak penalti masa.

“Strategi saya mudah kekalkan pace laju dan elak gagal di halangan. Kalau gagal, kena buat penalti loop 200 meter. Lima halangan gagal dah jadi hampir satu kilometer tambahan,” katanya.

Walaupun tidak mencapai sasaran masa 1 jam 40 minit selepas tersilap pada halangan Spear Throw, Saddam tetap puas dengan pencapaiannya.

“Saya gagal satu halangan dan kena buat 30 burpees, ambil masa lebih kurang dua minit. Lepas itu pace sedikit perlahan, tapi saya tetap puas sebab masih boleh menang,” katanya sambil tersenyum lega.

Sementara itu, bagi Kategori Elit Wanita, wakil Vietnam, Kim Luu Linh muncul juara dengan catatan 2:26:55, manakala peserta Thailand Tatcha Kawashima menamatkan saingan di tempat kedua (2:54:01).

Saddam turut menzahirkan rasa gembira melihat populariti sukan ekstrem Spartan semakin meningkat di Malaysia, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai atlet mencabar kemampuan diri.

“Spartan sudah popular sejak 2015 lagi. Ia kombinasi larian denai, halangan dan maraton. Untuk menang, atlet perlu lengkap semua aspek kekuatan, kelajuan, ketahanan dan strategi,” jelasnya.

Tambah Saddam, beberapa personaliti ternama negara juga pernah menyertai sukan lasak itu.

“KJ (Khairy Jamaluddin) dan Syed Saddiq pun pernah ambil bahagian dalam Spartan. Ia sukan yang benar-benar menguji daya tahan sebenar seseorang,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Saddam Pittli menjuarai Kategori Elit Lelaki Spartan Malaysia 2025 dengan masa 1 jam 46 minit 17 saat
  • Ini menandakan kepulangan Saddam ke pentas Spartan selepas hampir setahun berehat
  • Atlet Rusia dan Singapura masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga
  • Strategi kemenangan Saddam adalah menjaga kelajuan dan ketepatan mengharungi halangan untuk mengelak penalti
  • Populariti Spartan meningkat di Malaysia, menjadikannya platform untuk atlet menguji kekuatan, kelajuan, ketahanan, dan strategi



Source link

OR

Scroll to Top