Penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa memaklumkan isu royalti lagu Sinaran yang dinyanyikan semula olehnya bersama rapper terkenal MK K-Clique sudah pun selesai secara baik bersama Datuk Nora Ariffin.
Rossa mengakui tidak menyangka dirinya sebenarnya mengenali Nora serta komposer asal lagu itu yang turut merupakan teman lamanya.
“Saya pun terkejut bila dengar tentang perkara ini. Dari pihak kami, bayaran royalti memang sudah dibuat dan tak ada masalah. Tapi saya anggap semua ini ada hikmah sebab saya kenal Kak Nora. Saya juga baru sedar komposer lagu itu, Johan, sebenarnya kawan lama saya.
“Apabila perkara ini dibangkitkan, saya terus menghantar mesej langsung (DM) kepada Nora bertanyakan mengenai perkara ini. Alhamdulillah, sekarang semuanya baik-baik sahaja,” katanya.
@xtra_my Lurve sangat rendisi baharu Sinaran nyanyian Datuk Seri Rossa & MK K-Clique. ❤️ #xtramy #xtratonton ♬ original sound – XTRA
Rossa ditemui ketika majlis pelancaran EP terbaharunya, Asmara Dansa, di Feeka at The Five, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Selain rakaman semula lagu Sinaran yang dinyanyikan bersama MK K-Clique, EP Asmara Dansa turut memuatkan lagu nyanyian legenda muzik Indonesia, Chrisye iatu Serasa dan Juwita serta gabungan lagu yang diberi judul Serasa x Juwita.
Pelantun lagu Wanita Yang Kau Pilih itu turut meluahkan rasa lega kerana isu berkenaan sudah diselesaikan, selain memahami kegusaran Nora sebagai waris kepada karya tersebut.
“Kami dah berbincang dari hati ke hati. Kak Nora hanya mempertahankan hak waris, dan kebetulan saya pula yang menyanyikan semula lagu itu serta mengenali pihak yang terlibat. Jadi lebih mudah untuk berbual dan mencari penyelesaian,” katanya lagi.
Rossa menambah, insiden ini memberi pengajaran penting, malah membuka pandangannya mengenai isu serupa yang turut berlaku dalam industri muzik Indonesia.
“Perkara ini buat saya sedar situasi di Indonesia pun tak jauh berbeza, ada isu royalti tak dibayar dan sistem distribusi yang kurang teratur. Jadi saya sangat faham apa yang berlaku,” jelasnya.
Terdahulu, Nora menarik perhatian ramai selepas memuat naik hantaran di Instagram Storiy mempertikaikan siapa yang memberi kebenaran kepada Rossa untuk merakamkan semula Sinaran yang dimasukkan dalam mini album Asmara Dansa.
Dalam hantaran itu, Nora meluahkan rasa kecewa kerana lagu ciptaan arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi dan komposer tersohor, Allahyarham Adnan Abu Hassan digunakan tanpa keizinan.
Nora turut menegaskan isu royalti tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan hak pengkarya serta waris yang ditinggalkan.






