PETALING JAYA: Rakaman percakapan anak Datin Seri Pamela Ling Yueh yang dilaporkan hilang sejak 9 April lalu akan dijalankan di Kedutaan Malaysia di Singapura dalam tempoh terdekat.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya kini sedang mengatur proses rakam keterangan itu dengan bantuan Polis Antarbangsa (INTERPOL) memandangkan anaknya berada di Singapura.
“Setakat ini, keterangan daripada 25 individu telah diambil bagi membantu siasatan polis berhubung kehilangan Pamela,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau berkata, polis sudah memperoleh lakaran wajah (fotofit) salah seorang suspek berdasarkan maklumat saksi serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Lakaran wajah fotofit suspek sudah diperoleh dan hasil padanan fotofit adalah 40 peratus,” jelasnya.
Pada 9 April lalu, Pamela 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM dengan menaiki kereta perkhidmatan e-panggilan, untuk memberi keterangan berhubung satu siasatan yang sedang dijalankan.
Pihak polis menerima laporan berhubung kehilangannya pada pukul 3.02 petang hari yang sama.
Difahamkan, Pamela tinggal di Singapura bersama tiga anak terdiri daripada seorang anak lelaki serta dua anak perempuan.
Sebelum itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan sekurang-kurangnya lapan individu dan lima kenderaan terbabit dalam penculikan Pamela.
Katanya, antara kenderaan digunakan termasuk dua Nissan Teana serta masing-masing sebuah Toyota Camry, Perodua Myvi dan Nissan Almera.
Tiga kenderaan dikenal pasti menghalang laluan kereta e-hailing dinaiki mangsa, manakala dua lagi bertindak memantau persekitaran.
Katanya, sebahagian daripada nombor pendaftaran kenderaan didapati palsu dan diklon daripada kenderaan lain yang sedang digunakan oleh pemilik asal.
Tambahnya, dua suspek memakai vest menyerupai anggota polis dan dipercayai menyamar bagi mengaburi mangsa serta orang awam di lokasi kejadian.
Rakaman CCTV turut menunjukkan mangsa dilihat akur keluar dari kenderaan dan menaiki salah satu kereta suspek tanpa sebarang pergelutan, manakala pemandu e-hailing hanya menurut arahan suspek termasuk menyerahkan MyKad dan menandakan perjalanan sebagai selesai dalam aplikasi.
Rusdi turut dilaporkan berkata, siasatan dengan Jabatan Imigresen Malaysia mendapati tiada rekod menunjukkan Pamela meninggalkan negara, dan pihaknya percaya wanita itu masih berada dalam Malaysia. – UTUSAN