Rakaman percakapan Jovian di Jakarta bukan Bali – SPRM

Rakaman percakapan Jovian di Jakarta bukan Bali – SPRM


hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Bangi: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan pihaknya merakam keterangan pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie di Bali, Indonesia.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, sebaliknya pertemuan untuk proses merekodkan keterangan itu dilakukan pegawainya di Jakarta.

Katanya, ia berikutan ada pihak yang bertanya kepadanya mengenai pegawainya dikatakan ke Bali untuk tujuan berkenaan.

“Pegawai saya merekodkan kenyataannya di Jakarta bukan di Bali. Sebab ada yang tanya kenapa SPRM pergi Bali.

“Saya tidak pernah berkata pegawai saya pergi Bali. Mereka tidak akan ke sana (Bali) untuk berbulan madu,” katanya pada Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah SPRM Kali Kedua Tahun 2025, di sini, hari ini.

Sebelum ini, SPRM dijangka bertemu Datuk Jovian Mandagie iaitu bekas menantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di Jakarta, Indonesia.

Difahamkan, pasukan penyiasat akan berada di sana selama dua hari untuk mengambil keterangan pereka fesyen berusia 39 tahun itu, bagi membantu siasatan kes membabitkan Perdana Menteri ke sembilan itu.

Jovian menjadi saksi penting untuk mengesahkan aset yang diisytihar oleh ahli politik terbabit kepada SPRM.

Terdahulu, Azam dilaporkan berkata, Jovian adalah saksi yang dinamakan oleh Ismail Sabri ketika direkod keterangan sebelum ini bagi mengesahkan aset yang diisytihar kepada SPRM.

Setakat ini, SPRM masih dalam proses menganalisis semua aset terbabit kerana sumber pendapatan Ismail Sabri terlalu banyak memandangkan bekas pemimpin nombor satu negara itu pernah berkhidmat dalam pelbagai sektor termasuk swasta, selain memiliki beberapa syarikat ketika bukan anggota pentadbiran.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Ahli Parlimen Bera itu disiasat, antara lain membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia sepanjang tempoh pentadbirannya sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Kes berkenaan disiasat mengikut peruntukan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top