Di sebalik kemeriahan lagu raya Yaa Hari Raya, penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat rupa-rupanya berdepan situasi tidak dijangka apabila rakan duet asal menarik diri pada saat akhir.
Menerusi beberapa perkongsian di Threads, Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 35, mendedahkan lagu tersebut pada awalnya dirancang bersama penyanyi lain, malah segala persiapan termasuk rakaman dan bahan promosi sudah pun disiapkan.
“Sepatutnya, jujurnya saya menyanyi dengan orang lain… lagu dah siap, gambar pun dah siap, tapi tak ada rezeki bila pihak sana tak nak teruskan,” kongsinya.
Meskipun kecewa, pelantun lagu Pencuri Hati ini bagaimanapun tidak memilih untuk berdiam diri atau menangguhkan projek tersebut.
Sebaliknya, Ayda mengambil langkah berani dengan menghubungi rakan seperjuangan, penyanyi Hazama secara spontan untuk menggantikan tempat individu berkenaan.
“Bila saya call, dia terus cakap ‘kau mesti ada masalah kan’. Saya terus tanya, sudi tak duet lagu raya… dan dia terus setuju,” katanya.

Lebih mengejutkan, proses rakaman lagu itu berjalan pantas apabila Hazama hanya mengambil masa kira-kira dua jam untuk menyiapkan bahagian vokalnya.
Bukan itu sahaja, sikap bertolak ansur Hazama turut menyentuh hati Ayda apabila penyanyi itu tidak berkira soal bayaran demi memastikan projek tersebut menjadi kenyataan.
“Saya memang terharu… dia memudahkan urusan saya,” katanya lagi.
Meninjau ke ruangan koman, rata-rata netizen memuji sikap profesional Ayda yang tetap meneruskan projek lagu raya tersebut meskipun berdepan cabaran di saat akhir.
Ramai dalam kalangan netizen juga turut menyukai gandingan Ayda dan Hazama dalam lagu Yaa Hari Raya yang dikatakan mempunyai ‘vibes’ Arab.






