nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas 35 tahun tidak bertemu, hubungan antara 45 bekas pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kuari, Batu Pahat, Johor pada 1975 bertaut kembali.
Pengurus pengiklanan, Aziz Bakar Othman, 56, berkata, dia bersama empat sahabatnya mengambil inisiatif untuk mengesan semula rakan sekelas mereka itu.
Menurutnya, pertemuan semula itu menjadi pencetus idea untuk sepakat menubuhkan tabung bagi membantu komuniti serta individu memerlukan.
“Hasil usaha itu, kami berjaya mengesan kesemua rakan sekelas pada 2019 yang dimasukkan dalam kumpulan sembang WhatsApp untuk berkomunikasi.
“Meskipun hanya berhubung melalui kumpulan sembang itu, kami sepakat untuk menubuhkan tabung yang sumbangan dikumpul sendiri dalam kalangan kami.
“Ia bagi membantu komuniti di sekitar kampung berhampiran sekolah rendah kami termasuk program masjid selain membantu rakan sekelas kami yang ditimpa musibah serta sakit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Aziz berkata, pelbagai usaha dilakukan mereka bagi menyumbang dalam tabung itu termasuk inisiatif daripada rakan wanita yang juga suri rumah untuk berniaga.
“Ada antara kami adalah suri rumah yang juga mahu menyumbang. Jadi, mereka sanggup berniaga seperti menjual kerepek dengan hasil jualan itu disumbangkan dalam tabung berkenaan.
“Hasil sumbangan ini, kami berjaya mengumpul kira-kira RM15,000 dalam tempoh lima tahun yang disumbangkan kepada komuniti dan rakan memerlukan,” katanya.
Katanya, selepas lebih 30 tahun tidak bertemu, mereka kemudian nekad untuk mengadakan pertemuan semula bagi mengeratkan silaturahim.
“Hasil perbincangan dilakukan, kami berjaya mengadakan perjumpaan semula itu pada bulan lalu dihadiri kesemua 45 rakan sekelas yang datang dari segenap lokasi.
“Majlis itu diadakan di kediaman salah seorang rakan sekelas yang juga bekas guru besar di Kampung Parit Lapis, Semarang, Batu Pahat, Johor,” katanya.
– ends
#kw pertemuan semula, rakan sekelas, tabung, Kuala Lumpur
Keterangan gambar:
Majlis pertemuan semula rakan sekelas Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kuari, Batu Pahat, Johor, pada 1975 di sebuah kediaman di Kampung Parit Lapis, Semarang, Batu Pahat, Johor, bulan lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd