rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Rakan wanita diganggu individu lain dipercayai punca tercetusnya pergaduhan antara dua kumpulan di sebuah restoran di Jalan Telawi, Bangsar di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengurus restoran yang mendakwa kerugian RM5,000 selepas barangan restoran rosak akibat kejadian itu.
“Berdasarkan laporan, kejadian berlaku pada 5.40 pagi membabitkan dua kumpulan lelaki antara lapan hingga 10 orang.
“Semasa kejadian, beberapa pelanggan yang berada di dalam restoran melarikan diri kerana ketakutan. Pelbagai peralatan restoran termasuk meja, cermin kaunter dan perhiasan pada dinding pecah serta rosak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seramai tiga individu yang juga saksi kejadian sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pergaduhan itu dikatakan berpunca selepas seorang wanita daripada salah satu kumpulan berkenaan diganggu oleh satu lagi kumpulan suspek.
Ku Mashariman berkata, polis sudah mengenalpasti suspek dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd