Rakyat iktiraf peranan KPN kukuh keharmonian

Rakyat iktiraf peranan KPN kukuh keharmonian


Kejayaan sesebuah negara, sama ada dari sudut ekonomi mahupun pembangunan menyeluruh, terbina daripada keharmonian yang wujud dalam negara itu sendiri.

Tiada negara mampu maju atau disanjungi dunia jika rakyatnya tidak hidup dalam suasana aman dan bersatu. Inilah prinsip yang sentiasa menjadi keutamaan Malaysia, bahawa perpaduan adalah asas kemajuan dan kekuatan negara.

Malaysia kekal berdiri sebagai sebuah negara majmuk yang masih mampu bernafas dalam keharmonian tatkala dunia dihimpit polarisasi, ketegangan identiti dan perbezaan ideologi.

Apa yang dikecapi ini sebenarnya banyak dilaksanakan oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bagi mengurus cabaran kepelbagaian, menyemai kesefahaman serta memastikan hubungan antara rakyat sentiasa stabil dan sejahtera.

Dalam konteks dunia yang penuh perbezaan, Malaysia tidak boleh mengharapkan perpaduan berlaku dengan sendiri kerana ia menuntut pembinaan berterusan, kesedaran kolektif dan komitmen bersama.

Inilah asas yang dilaksanakan KPN di bawah Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang yang sentiasa mencari pelbagai pendekatan baharu yang berasaskan komuniti dan akar umbi.

KPN telah memperkenalkan pendekatan baharu yang lebih bersifat berdasarkan program dengan memberi tumpuan kepada interaksi sebenar di peringkat akar umbi.

Ia bertujuan merapatkan jurang sosial antara kaum, meraikan adat resam dan warisan, serta mewujudkan platform yang menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti bersama. 

Malah, tahun ini turut menyaksikan pengenalan tema kementerian iaitu ‘Harmoni Dalam Kepelbagaian’.

Ia membawa mesej yang kini mula difahami sebagai tonggak kepada kelangsungan negara, keperluan kembali kepada nilai asas integrasi nasional, iaitu Faham, Hormat, Terima dan Meraikan, nilai yang menjadi asas hubungan antara kaum sejak negara mencapai kemerdekaan.

Menyoroti langkah KPN, sehingga November 2025, sebanyak 762 program perpaduan telah dilaksanakan di seluruh negara.

Melihat angka ini, mungkin sebahagian masyarakat tertanya-tanya mengapa ia tidak kelihatan secara meluas.

Hakikatnya, majoriti inisiatif dilaksanakan di kawasan sasaran seperti komuniti berisiko, zon sensitif, kawasan bandar padat dan lingkungan bercampur etnik, bukan di lokasi konvensional seperti hotel atau acara mega.

Intervensi sosial

Pendekatan bersasar ini membolehkan intervensi sosial berlaku tepat di kawasan yang memerlukan, sekali gus meningkatkan keberkesanan program.

Pencapaian itu juga didorong oleh empat kerangka strategik utama iaitu Ekosistem Perpaduan, Harmoni MADANI, Eksplorasi Rukun Negara dan Komuniti Sosio-Budaya.

Hubungan antara agama turut diperkukuh melalui Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia, Dialog Harmoni serta perarakan budaya yang merayakan kepelbagaian sementara Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan menyelaras respons 12 agensi terhadap isu sensitif.

Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN) memudahkan saluran aduan rakyat, dan 603 Mediator Komuniti terus menjadi benteng awal mencegah konflik di kawasan berisiko.

Sambutan 55 Tahun Rukun Negara turut diangkat melalui Amanat Perdana Hari Kebangsaan, Kempen Taat Setia dan Program Gerak Integrasi Perpaduan yang merapatkan pelajar dengan identiti nasional.

Di institusi pengajian tinggi, Program Citra Negaraku disokong geran RM20,000, sementara Konvensyen Sekretariat Rukun Negara, Arkib@Sekolah, pertandingan mural dan IPIM membuka ruang kepada generasi muda meneroka sejarah, warisan dan nilai kenegaraan secara lebih kreatif dan bermakna.

Inisiatif sosiobudaya juga dipacu melalui program merakyatkan sejarah seperti Citra Nusa @ Muzium, Fiesta Uniti @ Muzium dan Cashless Museum.

Pelancaran Arkib Komuniti, Majlis Sejarawan Negara dan program Mengenang Negarawan memperkukuh dokumentasi warisan negara, manakala pembukaan semula Galeria Sri Perdana menghidupkan kembali memori kepimpinan negara.

Budaya membaca terus diperkasa melalui Karnival Baca Perdana, Baucar Buku Semarak Membaca, Festival Seni Sastera Kanak-Kanak, Program Duta Buku dan Ceritaku@Sekolah demi membina masyarakat berilmu dan berbudaya.

Peranan kementerian itu mendapat maklum balas baik daripada rakyat pelbagai golongan.

Dineskumaran Patmanathan, 22, yang juga aktivis belia yang menyatakan sebagai anak muda, dia melihat sendiri bagaimana program perpaduan hari ini memberi peluang sebenar untuk kami membina kefahaman dan keyakinan merentas perbezaan.

“Apabila kementerian turun ke lapangan dan membabitkan belia secara langsung, ia membuatkan kami rasa dihargai dan menjadi sebahagian daripada agenda nasional,” katanya.

Sementara itu, Nor Nadia Adnan, 38, wakil komuniti setempat turut melihat keberkesanan inisiatif KPN dalam mengharmonikan masyarakat setempat.

“Dulu banyak isu kecil di kawasan kami berlarutan sebab tiada saluran yang jelas. Sekarang, dengan mediator komuniti, RAKAN dan program KRT yang makin aktif, hubungan kejiranan jauh lebih baik. Usaha kementerian sangat ketara dan kami memang rasa perubahannya,” katanya.

Kejayaan KPN sepanjang tahun ini membuktikan satu hakikat penting iaitu perpaduan bukan sesuatu yang berlaku secara automatik. Ia perlu diurus, dipupuk dan dirancang secara berterusan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top