July 23, 2024

Rakyat Malaysia cedera ditimpa sekeping konkrit di Hong Kong

Rakyat Malaysia cedera ditimpa sekeping konkrit di Hong Kong


KUALA LUMPUR – Lawatan kerja bertukar menjadi detik cemas bagi seorang lelaki Malaysia pada hari pertamanya di Tsim Sha Tsui, Hong Kong yang terkenal dengan kesibukan kota.

Hanya beberapa jam selepas menjejakkan kaki di metropolis itu pada 4 Julai, Ng Shu Lin, 44, telah ditimpa sekeping konkrit yang jatuh dari Bangunan Yau Lai di Nathan Road mengakibatkan kecederaan di kepalanya.

Ng dalam perjalanan untuk menghadiri seminar Taat Ibu Bapa Sedunia ketika kejadian itu berlaku di kawasan yang sibuk dengan pejalan kaki dan bangunan tinggi.

Menurut rakannya, Yap Shy Cuan, 48, lelaki yang dalam lawatan kerja itu sedang berjalan di jalan yang sibuk ketika insiden berlaku.

“Ia adalah insiden yang mengejutkan. Impak itu menyebabkan Ng jatuh ke tanah dan orang ramai segera membantu. Ng telah menjalani dua pembedahan, tetapi masih terdapat serpihan konkrit yang tidak dapat dikesan dan dikeluarkan.

Pembedahan kedua baru sahaja dilakukan semalam (7 Julai). Dia dijangka akan keluar hospital esok,” kata Yap kepada Bernama dalam satu temu bual telefon.

Ng, yang kini stabil tetapi masih lemah dan dirawat di Hospital Baptist Hong Kong, merancang untuk berjumpa dengan peguam selepas keluar hospital untuk meneroka pilihan undang-undang berhubung kejadian itu.

Kejadian yang menimpa Ng menarik perhatian media tempatan dan laporan dari tempat kejadian menunjukkan beberapa serpihan konkrit ditemukan di kaki lima, dengan retakan yang kelihatan di bahagian bawah kanopi bangunan itu, walaupun tiada tetulang besi yang terdedah.

Jabatan Bomba menggunakan tangga untuk mengeluarkan kepingan konkrit lain yang longgar dan berisiko jatuh dari Bangunan Yau Lai, yang telah diduduki sejak 1963 dan kini berusia 61 tahun.

Menurut Jabatan Bangunan, notis berkanun untuk pemeriksaan wajib bangunan telah dikeluarkan lebih awal untuk kawasan komunal bangunan itu dan pemeriksaan dilakukan mengikut notis itu. –  BERNAMA

 



Source link

OR

Scroll to Top