Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia yang menetap di Riyadh dan timur Arab Saudi serta pemegang ‘Iqamah’ (Residen ID) dinasihatkan supaya menyemak terma kontrak pekerjaan terlebih dahulu sebelum menyertai penghantaran pulang oleh kerajaan Malaysia.
Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh menerusi notis keselamatan yang dimuat naik di Facebook pada Jumaat turut menasihati rakyat Malaysia supaya mendapatkan kebenaran daripada majikan sebelum membuat keputusan menyertai proses itu.
“Proses pemindahan keluar (evacuation) ini adalah bersifat sehala (one-way) dari Riyadh ke Kuala Lumpur dan disediakan khusus bagi membantu rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air berikutan situasi semasa.
“Usaha ini akan dilaksanakan secara berperingkat mengambil kira keutamaan bagi rakyat Malaysia yang terjejas secara langsung akibat ancaman keselamatan semasa,” menurut notis berkenaan.
Penghantaran pulang adalah atas pilihan sendiri dan mereka yang berminat perlu mendaftar menerusi pautan https://forms.gle/kAXxeQHE94gCsjsD8 .
Mereka juga dinasihatkan supaya memastikan pasport masing-masing masih sah dan semua urusan dokumentasi yang lain seperti visa exit/re-entry adalah lengkap.
Maklumat lanjut berhubung proses perpindahan keluar itu akan dimaklumkan oleh pihak kedutaan dalam masa terdekat, menurut notis keselamatan itu.
Rakyat Malaysia juga boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Riyadh menerusi telefon +966 56 300 6319 (kecemasan sahaja) atau e-mel mwriyadh@kln.gov.my.
Kedutaan turut memohon agar rakyat Malaysia di Arab Saudi kekal tenang, tidak panik dan sentiasa peka terhadap sebarang komunikasi yang dikeluarkan oleh pihak kedutaan dan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa.
Menurut notis keselamatan itu, kerajaan Malaysia memutuskan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari rantau Asia Barat yang terjejas akibat ancaman keselamatan semasa.
Pada masa ini, kedutaan Malaysia di Riyadh sedang menyelaras usaha bersama Perwakilan Diplomatik Malaysia di negara terbabit bagi memastikan warga Malaysia dapat dibawa pulang ke tanah air dengan selamat.
“Kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia di Arab Saudi turut menjadi keutamaan,” menurut notis berkenaan.
Situasi di Timur Tengah tegang sejak Sabtu lepas (28 Feb) apabila Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Iran, diikuti oleh serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.
© New Straits Times Press (M) Bhd






