suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia yang berhasrat ke Selatan Thailand dinasihat tangguh perjalanan ekoran hujan lebat dan banjir yang melanda negeri berkenaan.
Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia Songkhla dalam kenyataan berkata, ia berikutan cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan ketika ini, serta banjir yang sedang melanda di kebanyakan kawasan di Selatan Thailand.
“Rakyat Malaysia yang sedang berada di Selatan Thailand dinasihatkan supaya peka dengan keadaan cuaca.
“Selain itu, mengikuti pengumuman, berita dan nasihat daripada pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa serta menjaga keselamatan diri masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, bagi yang memerlukan bantuan konsulat boleh hubungi langsung pegawai bertugas.
“Pegawai bertugas (Duty Officer): +6681-9901930
E-mel: mwsongkhla@kln.gov.my,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, hujan lebat berterusan sejak awal minggu menyebabkan banjir besar melanda lapan wilayah di selatan Thailand, menjejaskan hampir 360,000 penduduk di 48 daerah, lapor Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM).
Lapan wilayah terjejas termasuk Phatthalung, Satun dan Songkhla yang menjadi lokasi tumpuan pelancong Malaysia ketika bercuti di negara jiran itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd





