Rakyat Palestin akan pulang selepas dapatkan rawatan di negara ini – Mohamad

Rakyat Palestin akan pulang selepas dapatkan rawatan di negara ini – Mohamad



khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Semua rakyat Palestin yang dibawa ke Malaysia sebelum ini akan dihantar pulang selepas mereka mendapatkan rawatan di negara ini, kata Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, ia janji dibuat oleh kerajaan dengan pemimpin Palestin sebelum ini.

“Mereka ini tak nak datang, mereka tak mahu keluar, mereka tak mahu tinggalkan tanah air. Mereka lebih rela mati di tanah air sendiri.

“(Tapi) dengan janji kita bawa ke sini untuk berikan sedikit bantuan perubatan kepada anak-anak (Palestin) yang cedera dan mesti menghantar mereka balik.

“Tidak ada persoalan mereka ini akan tinggal di sini untuk jangka masa lama. Mereka mahu kembali semula ke tanah air,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2024 di sini hari ini.

Minggu lalu, seramai 41 rakyat Palestin yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza, dengan diiringi 86 waris mereka selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara (PTU) Subang.

Ketibaan mereka yang menaiki dua pesawat A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) disambut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno turut menggesa agar bantuan yang diberikan kepada rakyat Palestin itu tidak dihebohkan.

Ahli Parlimen Rembau itu turut menafikan rakyat Palestin berkenaan akan dihantar ke sesetengah negeri.

“Tak usahlah risau. Ada negeri-negeri yang risau mengatakan kita akan menghantar orang Palestin ini duduk di negeri mereka. Tak ada.

“Perlu ada peri kasihan terhadap orang yang menderita,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top