PETALING JAYA: Rakyat Malaysia perlu mempertahankan maruah bangsa dan kebebasan negara yang telah diperjuangkan oleh generasi terdahulu.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kemerdekaan yang dicapai bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi hasil pengorbanan jiwa, raga, dan darah para pejuang tanah air.
Oleh itu katanya, sebagai generasi penerus, rakyat Malaysia tidak akan membenarkan negara ini dijajah semula, sama ada secara fizikal mahupun melalui bentuk penjajahan lain seperti ‘arm twisting’ (tekanan).
“Kita akan berjuang demi mempertahankan maruah bangsa agar bebas dari cengkaman pemikiran dan ideologi bangsa penjajah. Kita akan pastikan negara ini kekal kepunyaan kita, orang kita, negara kita,” ujar beliau dalam kenyataan sempena Hari Kemerdekaan ke-67.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut, juga menekankan pentingnya kesetiaan kepada perjuangan bangsa, agama, dan negara.
Untuk itu katanya, rakyat perlu setia kepada kepemimpinan yang baik, jujur, dan beramanah, seperti mana yang pernah dilakukan pada zaman kegemilangan Malaysia dahulu.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap situasi semasa di mana kebebasan bersuara disekat, dan menegaskan bahawa perjuangan untuk mempertahankan kepentingan bangsa, agama, dan raja-raja adalah hak setiap anak merdeka.
“Kita mahu Malaysia menjadi negara berdaulat, di mana tiada siapa pun melebihi undang-undang. Usah gentar menentang kezaliman, kerana keimanan itu lebih kuat dari ketakutan dan kebenaran akan mengatasi kebatilan,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Larut.
Beliau turut mengingatkan bahawa nasib bangsa ini terletak di tangan rakyat, dan menekankan perlunya pemimpin yang dihormati, bertanggungjawab, bijaksana, dan berpengalaman.
“Kita akan lakukan yang terbaik demi negara ini kerana di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung. Inilah masanya untuk kita bawa udara yang lebih nyaman demi kehidupan yang makmur dan sejahtera,” katanya. – UTUSAN