Rakyat perlu tolak wakil rakyat gadai prinsip, kepercayaan rakyat – MKT UMNO


PUTRAJAYA: Rakyat perlu menolak wakil rakyat yang mengadai prinsip dan kepercayaan rakyat apabila dengan sewenang-wenangnya meletak jawatan yang dipilih oleh rakyat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, menjadi wakil rakyat bukan hanya bergantung dengan wang peruntukan wakil rakyat, mereka perlu bercakap dan perjuangkan nasib rakyat yang mereka wakili di Parlimen.

Malah, katanya, setiap polisi yang dibentangkan dalam Parlimen perlu dibahas.

“Amat mudah wakil rakyat yang di pilih oleh Rakyat meletakkan jawatan. Tiada alasan, tiada sebab, mereka meletakkan jawatan sesenang hati.

“Walaupun Barisan Nasional (BN) bukanlah Parti Gabungan Pakatan Harapan (PH), kami punyai disiplin dan faham betapa seriusnya apabila perkara yang melibatkan kepentingan rakyat.

“Apabila kami berjanji sehingga penggal Parlimen tamat, kami akan pegang, ia adalah untuk kepentingan rakyat, walaupun ada banyak tekanan politik yang diberikan kepada BN, hari ini kami tetap meneruskan kerja demi rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Razlan berkata, mengambil mudah dan mempermainkan kerusi Ahli Parlimen adalah satu kesalahan serius kepada rakyat yang mereka wakili.

“Rakyat perlu menolak mereka selepas ini,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Dewan Rakyat, hari ini.

Wong Chen merupakan antara lima Ahli Parlimen PKR yang sebelum ini menyuarakan rasa kecewa berhubung tindakan menyekat akses kepada portal MyKhas, yang digunakan bagi menguruskan peruntukan pembangunan kawasan.

Empat lagi ialah Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan; dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan.

Sebelum ini, dua bekas pemimpin kanan PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad turut meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa, masing-masing berkuat kuasa pada 18 Mei lalu, sebelum meninggalkan PKR untuk menyertai platform politik baharu.

Rafizi merupakan bekas Menteri Ekonomi manakala Nik Nazmi bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Kedua-duanya sebelum itu meletakkan jawatan daripada Kabinet pada 2025 selepas tewas dalam pemilihan PKR, dengan peletakan jawatan Rafizi berkuat kuasa 17 Jun manakala Nik Nazmi pada 4 Julai 2025 – UTUSAN.

 



Source link

OR

Scroll to Top