Nairobi: Majoriti atlet di Kenya, Tanzania dan Uganda pernah mengalami keganasan seksual atau berasaskan jantina (SGBV), menurut satu laporan yang dilakukan oleh sebuah universiti, semalam.
Isu SGBV kini semakin menjadi tumpuan di rantau Afrika Timur, terutama di Kenya yang menyaksikan beberapa kematian tragis membabitkan atlet wanita terkemuka dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Laporan utama itu diterbitkan oleh Universiti Aga Khan yang berpangkalan di Nairobi, selepas meninjau 748 responden kebanyakannya berumur antara 18 hingga 34 tahun serta menemubual 18 individu lain.
Hampir 30 peratus daripada responden adalah atlet profesional atau separuh profesional.
Hasil kajian mendapati 62 peratus daripada mereka melaporkan “mengalami sendiri atau mengetahui rakan seperjuangan yang pernah mengalami sebarang bentuk keganasan.”
“SGBV dalam sukan Afrika Timur berakar umbi daripada ekosistem yang pincang, didorong oleh sikap pelaku yang tidak dihukum dan budaya berdiam diri,” menurut laporan itu.
Di Kenya, 69 peratus responden mengaku pernah mengalami atau mengetahui kes keganasan termasuk secara lisan, fizikal dan seksual meningkat berbanding angka 43 peratus yang direkodkan oleh kerajaan pada 2022.
Di Tanzania pula, kadar yang sama direkodkan iaitu 62 peratus, manakala Uganda melaporkan 48 peratus.
Jurulatih turut dikenal pasti sebagai antara pelaku utama dalam kes SGBV.
“Ramai atlet yang pernah didera meninggalkan dunia sukan sepenuhnya selepas bersara kerana trauma berpanjangan, ketiadaan perlindungan serta persekitaran yang bermusuhan,” jelas laporan berkenaan.
Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, Kenya kehilangan enam atlet elit, termasuk pelari maraton kelahiran Uganda, Rebecca Cheptegei yang dibakar hidup-hidup oleh teman lelakinya warga Kenya pada 2024.
Pada 2021, atlet jarak jauh terkenal Kenya, Agnes Tirop pula ditemui mati ditikam. Waran tangkap dikeluarkan terhadap suaminya namun dia masih gagal hadir ke mahkamah hingga kini.
© New Straits Times Press (M) Bhd