“Ramai Fikir Ia Mudah & Serba Glamor, Tapi..” – Chloe Lim Komited Buat Persiapan Wakil Malaysia Di Pentas Miss Universe 2025

“Ramai Fikir Ia Mudah & Serba Glamor, Tapi..” – Chloe Lim Komited Buat Persiapan Wakil Malaysia Di Pentas Miss Universe 2025


Miss Universe Malaysia 2025, Chloe Lim, menyimpan kisah perjuangan dan disiplin luar biasa yang diharungi sejak menggenggam mahkota idaman ramai wanita.

Menjelang pentas antarabangsa Miss Universe 2025 yang bakal berlangsung pada 21 November di Thailand, gadis berusia 27 tahun ini kini melalui fasa paling mencabar dalam hidupnya.

Hari-harinya dipenuhi jadual padat, latihan intensif dan persiapan mental bagi memastikan dirinya tampil sebaik mungkin sebagai wakil Malaysia.

“Sejak hari pertama saya menang, jadual memang padat tanpa henti. Miss Universe bukan hanya tentang kecantikan, tapi memerlukan kekuatan fizikal dan mental.

“Saya perlu hadiri latihan catwalk, belajar solek dan dandanan sendiri, asah kemahiran komunikasi, serta biasakan diri di depan kamera,” katanya kepada XTRA.

Gadis berasal dari Kuala Lumpur itu mengakui masa rehatnya kini sangat terhad, namun setiap pengalaman dianggap berharga dalam membentuk dirinya sebagai wakil negara.

“Tidur pun kadang-kadang cuma empat atau lima jam sehari, tapi semua ini sebahagian daripada proses. Saya tahu setiap penat itu akan berbaloi nanti,” jelasnya.

Selain menjalani latihan intensif, Chloe turut aktif menghadiri pelbagai acara rasmi termasuk ASEAN Youth Entrepreneurship Carnival Conference, yang disifatkannya sebagai peluang untuk mengasah keyakinan dan wawasan diri.

“Saya percaya Miss Malaysia mesti lebih daripada sekadar rupa. Dia perlu cerdas, tahu berbicara tentang isu semasa, dan ada matlamat yang jelas. Saya mahu bawa imej wanita Malaysia yang bukan saja elegan, tapi juga berprinsip dan berjiwa besar,” katanya.

Menjelang detik pertandingan, Chloe kini memberi tumpuan kepada persiapan fizikal, mental dan emosi agar benar-benar bersedia.

“Dalam masa tiga minggu, saya akan bersama wakil dari seluruh dunia. Jadi saya kena kuat, fokus dan jadi versi terbaik diri saya. Ini pentas dunia, bukan pertandingan biasa,” katanya.

Walaupun teruja, Chloe tidak menafikan ada rasa gementar menjelang pertandingan tersebut.

“Sudah tentu saya teruja, tapi pada masa sama ada juga rasa gugup. Apa pun, saya dah buat yang terbaik. Sekarang saya cuma nak fokus untuk buat Malaysia bangga,” katanya lagi.

Apabila ditanya segmen paling dinantikan, Chloe berkata dia paling menunggu momen evening gown, yang dianggap sebagai peluang menonjolkan elemen seni dan keanggunan Malaysia di pentas dunia.

“Saya suka sesuatu yang klasik dan penuh makna. Ramai fikir dunia Miss Universe ni mudah dan serba glamor, tapi sebenarnya penuh cabaran dan pengorbanan. Ada masa menangis, ada masa letih, tapi saya percaya semua usaha ni akan berbaloi bila dapat bawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa,” katanya mengakhiri perbualan.

Sesi fotografi eksklusif ini dijalankan di Holiday Inn Bangsar, menampilkan Chloe dalam busana anggun rekaan Poya dan Azie Couture. Sentuhan magis Azmier Hisyamuqris menyerlahkan rias wajahnya, manakala gaya rambut elegan disempurnakan oleh Frank Ong. Momen berharga ini dirakam indah oleh jurugambar berbakat, Felix In dan Danish Haikal.

Chloe bakal mewakili Malaysia ke pertandingan Miss Universe 2025 yang dijadualkan berlangsung di Impact Challenger Hall, Pak Kret, Nonthaburi, Thailand bulan depan.

Mari sama-sama memberi sokongan kepada Chloe dengan memuat turun aplikasi MU Zetrix dan undi Malaysia dalam kategori ‘Beyond The Crown’ serta ‘The Most Beautiful People’.

Beyond the Crown adalah inisiatif Zetrix dan Miss Universe menggunakan platform berasaskan blok rantai untuk undian peminat global dan interaksi. Peserta akan berkongsi kisah peribadi dan memperjuangkan isu yang mereka sokong di platform terbabit.

Matlamatnya bertujuan melangkaui naratif tipikal pertandingan ratu cantik dan tekankan tujuan, pemerkasaan, serta impak ingin dibawa oleh setiap peserta. Melalui inisiatif ini, Zetrix menyediakan aplikasi undian khusus untuk pertandingan Miss Universe.

Teknologi ini membolehkan peminat seluruh dunia mengambil bahagian secara aktif dan mengundi peserta pilihan mereka. Dengan cara ini, penyertaan peminat menjadi lebih telus dan meluas, memberi mereka suara dalam menentukan perjalanan pertandingan.

Platform ini juga memberi ruang kepada peserta berkongsi kisah peribadi mereka dan juga mengenai perjuangan sosial yang dekat di hati mereka. Ini menambah satu lapisan yang lebih mendalam kepada pertandingan, melangkaui aspek fizikal semata-mata.

Peminat dapat mengenali peserta lebih dekat dan memahami misi yang ingin dibawa oleh setiap daripada mereka. Selain itu, Beyond the Crown mewujudkan cara baharu untuk peminat berhubung dan menyokong peserta kegemaran mereka.

Interaksi ini tidak lagi terhad sewaktu pertandingan sahaja, sebaliknya ia membina sebuah komuniti lebih erat. Pembabitan lebih mendalam ini menjadikan pengalaman pertandingan lebih bermakna untuk semua pihak yang terbabit.

Inisiatif ini menekankan perjalanan mereka lebih besar daripada sekadar mahkota kemenangan. Ia memberi tumpuan kepada tujuan, pemerkasaan, dan impak positif yang ingin ditinggalkan peserta.

Peserta yang menerima undian tertinggi bakal menerima habuan bernilai RM211,332 (USD50,000) bagi membiayai advokasi dan impak kerja sosialnya.

Jom ramai-ramai bantu Chloe cipta impak positif dan harumkan nama Malaysia di pentas dunia!



Source link

OR

Scroll to Top