Ramai mahu tumpang nama XPDC, legasi JS Kevin – Zuar

Ramai mahu tumpang nama XPDC, legasi JS Kevin – Zuar

Ramai mahu tumpang nama XPDC, legasi JS Kevin – Zuar


syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain bass XPDC Kita Peng Yu (KPY), Zuar menyifatkan nama pengasas kumpulan XPDC, Allahyarham JS Kevin memiliki ‘keberkatan’ tersendiri.

Zuar atau nama sebenar Azuar Md Tasi, 60, berkata impak nama besar itu menyebabkan ramai pihak sehingga kini mahu menumpang jenama kumpulan rock itu yang sudah bertahan sejak era 1990-an.

Meskipun wujud beberapa kumpulan lain yang turut menggunakan nama XPDC, Zuar menegaskan perkara itu sama sekali tidak menjejaskan periuk nasi mereka, malah tetap utuh bertahan merentasi pelbagai generasi peminat.

“Nama Allahyarham JS Kevin ini ‘berkat’. Sampai orang boleh tumpang nama, boleh menyamar. Itu menunjukkan nama dia berkat.

“Berkat ini bertahan lama, maknanya (jenama) XPDC ini ada berkat, sebab itu ramai yang hendak tumpang nama XPDC. Tak mengapalah.

“Saya pun hairan, banyak band ‘otai’ sudah tak ada, tapi kami masih lagi boleh cari makan. Daripada zaman bujang sampai sudah ada cucu, kami masih bertahan, Alhamdulillah,” katanya.

Zuar berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Gegar Borneo 2026 oleh XPDC KPY, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengurus XPDC KPY, Yazid Selamat serta wakil penganjur Konsert Gegar Borneo 2026 daripada SMH Global, iaitu Aalan Ahmad dan Syed Hafizudin Tengku Mad.

Sebagai antara anggota asal di awal penubuhan XPDC, Zuar enggan memeningkan kepala dengan memikirkan mengenai kewujudan kumpulan lain yang menggunakan nama yang sama.

“Semua hendak jadi XPDC, semua pening. Biarkan sahaja sebab setakat ini, mereka yang menumpang nama tidak menjejaskan. Kami tak hairan dan tak pedulikan mereka. Kami buat hal kami, mereka buat hal mereka,” katanya.

Ditanya mengenai kekeliruan dalam kalangan peminat, Zuar percaya peminat tegar genre rock tanah air bijak menilai dan mengenali barisan anggota yang sepatutnya mereka sokong.

“Bagi saya, perkara ini orang lama sudah tahu. Cuma budak-budak baru sahaja yang mungkin tidak tahu. Orang lama akan tolong jelaskan kepada mereka. Kami tak kisah apa pun,” katanya.

Selain Zuar, XPDC KPY dibarisi oleh Amy (dram), Jeff (gitar) dan Ary selaku vokalis yang menggalas tanggungjawab besar menggantikan tempat Allahyarham Mael.

Dalam perkembangan lain, XPDC KPY bakal menggegarkan bumi Sabah menerusi Konsert Gegar Borneo 2026 yang dijadualkan berlangsung di padang Pekan Kunak pada 8 Ogos depan.

Konsert berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif menyokong kempen Visit Malaysia 2026.

Acara berskala besar itu dijangka bakal menghimpunkan ribuan peminat setia dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Brunei, sekali gus merancakkan sektor pelancongan serta ekonomi setempat.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top