am@hmetro.com.my
Seremban: Masih ramai warga asing dikesan ‘merayau’ memandu kenderaan atau menunggang motosikal tanpa lesen sah atau cukai jalan.
Ini terbukti apabila sebanyak 25 kenderaan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan dalam tempoh tiga hari penguatkuasaan Operasi Hari Raya Aidiladha (Ops HRAA).
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, operasi sempena musim perayaan itu bermula 10 Jun lalu dan akan berterusan sehingga 30 Jun.
“Hasil penguatkuasaan ini, kami mengambil tindakan menyita 25 kenderaan yang dipandu atau ditunggang warga asing membabitkan 29 kesalahan.
“Kesalahan utama yang dilakukan adalah tiada lesen memandu dan cukai jalan serta insurans tamat tempoh. Pemilik kenderaan juga diambil tindakan bagi kesalahan terbabit,” katanya pada Program Coffee Break di Petronas Ampangan 2, di sini, semalam.
Beliau berkata, kebanyakan kenderaan yang dipandu warga asing adalah untuk tujuan pekerjaan, malah terdapat kenderaan berkenaan adalah milik warga asing itu sendiri.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya mengesan 12 kesalahan yang dilakukan pemandu bas ekspres menerusi Ops Penyamaran yang dijalankan dalam tempoh sama.
“Kami turut menempatkan pegawai yang menyamar sebagai penumpang bas ke terminal bas utama seluruh negeri. Setakat tiga hari operasi, sebanyak 10 bas sudah dinaiki.
“Bagaimanapun, masih terdapat pemandu yang melanggar peraturan. Antaranya memandu di lorong kanan berterusan (3), menggunakan telefon bimbit (1), merokok (1) dan tidak memakai kasut (4),” katanya.
Tambahnya, sempena musim perayaan kali ini, pihaknya menjangkakan pertambahan jumlah kenderaan yang tinggi kerana cuti yang agak panjang, justeru pemandu diminta memandu secara berhemah.
© New Straits Times Press (M) Bhd