Ramasamy komited kerja keras perkasa MIC

Ramasamy komited kerja keras perkasa MIC


KUALA LUMPUR – Tan Sri M Ramasamy komited dengan jawatan baharu kepadanya, lantikan sebagai Naib Presiden MIC yang baharu dan berikrar akan terus bekerja keras bagi memastikan perjuangan parti khasnya untuk komuniti India akan terus terjaga.

Kata Ramasamy yang juga Pengerusi MIC Perak, kepercayaan dan amanat Presiden, Tan Sri SA Vigneswaran terhadapnya akan digunakan sebaik mungkin dalam memastikan dirinya mendukung perjuangan parti lebih 70 tahun dengan lebih agresif.

“Komitmen saya tidak berbelah bahagi, terima kasih kepada Presiden, Tan Sri SA Vigneswaran. Saya sudah berada dalam parti keramat hampir 40 tahun lamanya. Peluang ini adalah satu penghormatan besar dan saya sangat terharu dengan kepercayaan serta keyakinan yang diberikan oleh kepimpinan parti serta akar umbi.

“Saya komited untuk bekerja keras dan menjunjung tinggi nilai-nilai parti kita demi memberi impak yang bermakna kepada pertumbuhan serta kesejahteraan parti tercinta, masyarakat India serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya dengan lebih baik lagi-lagi dengan jawatan ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mantan Bendahari Agung MIC itu juga turut mengajak keseluruhan kepimpinan terutamanya yang baharu dilantik untuk bekerja bersama-sama dalam membina kegemilangan MIC kembali dalam keadaan politik mencabar ketika ini.

“Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada rakan-rakan seperjuangan dalam Jawatankuasa Kerja Pusat atas pencalonan yang layak diterima. Ia adalah satu penghormatan untuk berdiri bersama individu-individu yang berdedikasi, bersemangat, dan berwibawa.

“Bersama-sama, kita akan terus bekerja keras, memartabatkan nilai-nilai parti, serta memacu perubahan positif demi kepentingan masyarakat dan negara. Saya berharap dapat bekerjasama dengan anda semua dalam perjalanan penting ini untuk kejayaan serta masa depan bersama,” ujarnya. -MalaysiaGazette

Ramasamy dilantik Naib Presiden, Sivakumar Bendahari Agung MIC yang baharu



Source link

OR

Scroll to Top