Rangkaian 5G kedua tidak guna dana awam, U Mobile tanggung kos sepenuhnya

Rangkaian 5G kedua tidak guna dana awam, U Mobile tanggung kos sepenuhnya


KUALA LUMPUR- Rangkaian 5G kedua yang akan dibangunkan U Mobile Sdn. Bhd. tidak akan menggunakan dana awam sekali gus kerajaan tidak perlu menanggung sebarang kos kerana ia adalah projek swasta sepenuhnya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi ruangan soalan yang kerap ditanya (FAQs) menjelaskan, U Mobile akan diperuntukkan dengan jalur-jalur spektrum 5G bagi membangunkan rangkaian tersebut.

“U Mobile Sdn Bhd juga akan dikenakan fi berkaitan, selaras dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000,” katanya.

Suruhanjaya itu juga memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku monopoli kerana ia bertentangan dengan matlamat pewujudkan rangkaian kedua 5G.

Menurut pengawal selia komunikasi itu, projek rangkaian kedua 5G bertujuan untuk meningkatkan daya saing dalam penyediaan rangkaian 5G dan seterusnya memberi pilihan kepada rakyat.
Tambah MCMC, projek rangkaian 5G kedua itu juga adalah untuk memastikan liputan dan aksesibiliti di seluruh negara.

“Dengan adanya rangkaian 5G kedua, persaingan dalam industri telekomunikasi akan meningkat, mendorong penyedia perkhidmatan untuk menawarkan perkhidmatan berkualiti tinggi dan inovatif pada harga yang lebih kompetitif.

“Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna tetapi juga memacu pertumbuhan sektor-sektor seperti perkilangan, teknologi maklumat, dan ekonomi digital,” katanya lagi.

MCMC menjelaskan Malaysia pada awalnya menggunakan model Rangkaian Borong Tunggal yang disediakan oleh Digital Nasional Bhd. (DNB) sebagai pengendali untuk mengurus dan menyediakan perkhidmatan rangkaian 5G kepada semua pengendali rangkaian mudah alih secara borong.

Katanya, Model Rangkaian Borong Tunggal diperkenalkan untuk mempercepatkan pelaksanaan teknologi 5G di Malaysia.

Bagaimanapun, kerajaan menyedari terdapat keperluan untuk menggalakkan persaingan yang boleh mendorong perkhidmatan yang lebih baik dan inovasi pada harga lebih berpatutan kepada pengguna.

Sehubungan itu, pendekatan dwi rangkaian diambil yang mana model terbaharu itu juga mampu mengurangkan risiko dengan memastikan kesinambungan dan ketahanan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada infrastruktur telekomunikasi negara secara keseluruhan.

“Langkah ini penting untuk merapatkan jurang digital dan memacu pertumbuhan ekonomi melalui infrastruktur digital yang lebih baik dan jangkauan yang lebih meluas, terutama di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan di kawasan luar bandar,” katanya lagi.

Namun begitu katanya, DNB akan terus kekal beroperasi seperti biasa sebagai sebahagian daripada dwi rangkaian 5G.

Pada 1 November lalu, MCMC mengumumkan U Mobile telah dipilih sebagai pelaksana Rangkaian Kedua 5G di Malaysia selepas melalui proses tapisan ketat.

Pengawal selia komunikasi itu berkata, pelbagai faktor telah diambil kira termasuk rancangan perniagaan dan teknikal yang dikemukakan, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan serta prestasi mereka dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain.

Malah katanya, turut diambil kira adalah sumbangan memberangsangkan kepada projek Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) seperti JENDELA Fasa 1 dan Projek Penaiktarafan 4G, yang selaras dengan komitmen MCMC untuk meningkatkan pengalaman pengguna dan kecemerlangan perkhidmatan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL



Source link

OR

Scroll to Top